Bekas eksekutif Real Madrid kendali Newcastle

Bekas eksekutif Real Madrid kendali Newcastle

London: Newcastle United melantik warga Kanada, David Hopkinson sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu menggantikan Darren Eales, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu, hari ini.

Eales melepaskan jawatan atas faktor kesihatan selepas mendedahkan pada September lalu bahawa beliau menghidap kanser darah kronik.

“Kelab ini melambangkan sesuatu yang sangat istimewa. Ia memiliki sejarah dan warisan luar biasa, penyokong yang cukup bersemangat serta barisan pemilik, pemain dan kakitangan yang komited terhadap kecemerlangan.

“Dengan pengalaman bersama pasukan ikonik di pelbagai negara, saya faham apa yang diperlukan untuk membina kejayaan mampan di peringkat tertinggi sukan global.

“Saya amat mengagumi apa yang sudah dicapai kelab ini setakat ini, dan saya begitu teruja serta bermotivasi untuk membawa Newcastle United ke tahap kelab elit dunia,” kata Hopkinson.

Hopkinson menyertai Newcastle selepas berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Operasi di Madison Square Garden Sports, yang mengurus operasi perniagaan New York Knicks (NBA) dan New York Rangers (NHL).

Kedua-dua pasukan itu berpangkalan di Madison Square Garden, New York, dan adalah antara francais paling bernilai dalam liga masing-masing.

Sebelum itu, Hopkinson pernah memegang jawatan Ketua Global Bahagian Perkongsian di Real Madrid ketika kelab gergasi Sepanyol itu mengukuhkan status sebagai salah satu kelab bola sepak paling bernilai di dunia.

Beliau juga berkhidmat lebih dua dekad di Maple Leaf Sports & Entertainment Ltd. sebagai Ketua Pegawai Komersial, mengurus aktiviti komersial untuk Toronto Maple Leafs (NHL) dan Toronto Raptors (NBA).

Pengerusi Newcastle, Yasir Al-Rumayyan menyifatkan Hopkinson sebagai seorang eksekutif cemerlang dengan rekod prestasi hebat.

“Pengalaman dan kebolehan strategiknya akan menjadi aset penting ketika kami terus mengukuhkan kehadiran kelab di peringkat tempatan serta memperluas pengaruh global, sama ada di dalam atau luar padang.

“Kepimpinan David akan menjadi tonggak penting untuk membina masa depan lebih gemilang dan kejayaan mampan selepas pengambilalihan kelab ini,” katanya.

Pada 2021, konsortium yang diketuai Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi menjadi pemilik majoriti Newcastle.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top