Bekas presiden Korea Selatan dihukum penjara lagi

Bekas presiden Korea Selatan dihukum penjara lagi

SEOUL: Sebuah mahkamah di Korea Selatan pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap bekas presiden,Yoon Suk-yeol kerana didapati bersalah menerima tinjauan pendapat secara percuma sebagai balasan kepada sokongan politik, sekali gus menambah lagi masalah perundangan yang dihadapinya.

Suk-yeol, 65, kini sedang ditahan sementara menunggu rayuan terhadap hukuman penjara seumur hidup dalam satu kes berasingan kerana mengetuai pemberontakan menerusi pengisytiharan undang-undang tentera pada 2024.

Dalam satu lagi kes, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap Suk-yeol kerana menghantar dron ke Korea Utara bagi mencetuskan krisis menjelang usahanya mengisytiharkan undang-undang tentera.

Keputusan mahkamah pada Isnin itu bagaimanapun tidak berkaitan dengan pengisytiharan undang-undang tentera tersebut.

Sebaliknya, ia melibatkan dakwaan bahawa Suk-yeol menerima perkhidmatan tinjauan pendapat secara percuma antara 2021 hingga 2022 sebagai balasan kerana menyokong seorang calon yang mahu mendapatkan pencalonan partinya bagi pilihan raya kecil Parlimen.

“Mahkamah hari ini mendapati beliau bersalah kerana melanggar Akta Dana Politik dan menjatuhkan hukuman penjara dua tahun,” kata seorang wakil Mahkamah Daerah Pusat Seoul kepada AFP.

Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati Suk-yeol dengan kerjasama isterinya,

Kim Keon-hee menerima 14 tinjauan pendapat secara percuma daripada tokoh berpengaruh politik,Myung Tae-kyun sebagai balasan kerana menyokong calon yang disokong olehnya.

“Tindakan Suk-yeol telah meningkatkan secara ketara ketidakpercayaan orang ramai terhadap politik serta menjejaskan harapan rakyat terhadap pembangunan sistem pemerintahan demokrasi yang sihat,” kata mahkamah dalam kenyataan yang dikongsi kepada AFP.

“Justeru, tahap kesalahan tertuduh adalah amat serius,” tambahnya.

Mahkamah turut mensabitkan Tae-kyun bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadapnya.

Peguam bekas presiden itu berkata, beliau akan membuat rayuan dengan alasan keputusan bersalah itu hanya berdasarkan andaian semata-mata. – AFP

Scroll to Top