bhnews@bh.com.my
Kuala Lumpur: Jenazah bekas suami pelakon Liza Abdullah, Allahyarham Zolkefli Abdul Rahman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Gombak, kira-kira jam 12 tengahari tadi.
Zolkefli meninggal dunia jam 10.45 malam tadi menghidap pelbagai jenis penyakit, antaranya kencing manis dan buah pinggang.
Menurut Liza, bekas suaminya sering keluar masuk hospital dan baru menghidap tiroid.
“Arwah menghidap pelbagai komplikasi penyakit. Kakinya sudah dipotong akibat kencing manis, manakala buah pinggangnya juga bermasalah.
“Empat hari lalu doktor mengesyaki arwah menghidap tiroid. Keadaan arwah memang lemah dan sering keluar masuk hospital.
“Sepanjang arwah sakit, anak-anak bergilir-gilir menjaganya,” kata Liza.
Liza yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir buat bekas suaminya berterima kasih kepada rakan-rakan artis yang turut sama datang menziarah.
“Alhamdulillah, rakan-rakan arwah dan beberapa rakan artis hadir menziarah.
“Tiga anak lelaki kami juga turut uruskan jenazah arwah hingga ke liang lahad,” kata Liza.
Terdahulu, berita duka pemergian Zolkefli dikongsikan anak keduanya, Nurnaffiz Syahiddah menerusi Instagram Story, malam tadi.
“Salam, abah saya, Zolkefli Abdul Rahman menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.45 malam tadi.
“Jenazah akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Amru Ibni Al-As, Bandar Baru Sentul jam 7.30 pagi dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Taman Selasih,” tulis Nurnaffiz.
Liza bercerai dengan Zolkefli pada 2014 selepas 26 tahun berkongsi hidup.
Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zulhaffiz Zarriq, 36; Nurnaffiz Syahiddah, 32; Zulsyahmi Naqib, 23, dan Zulsyahmi Afif, 21.
© New Straits Times Press (M) Bhd




