mahaizura@mediaprima.com.my
Pemilikan haiwan eksotik di beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun, Russia dan sebahagian Eropah bukan lagi sesuatu yang menghairankan.
Dasar serta peraturan yang lebih longgar, budaya pemilikan haiwan peliharaan baharu serta industri pembiakan eksotik yang semakin berkembang menyebabkan ramai individu memilih untuk membela spesies yang tidak biasa berada dalam rumah.
Antara haiwan unik yang sah dan popular dibela di luar negara termasuk:
1. Capybara
‘Rodent’ terbesar di dunia ini menjadi ‘bintang’ di Jepun dan AS.
Jinak, pandai berenang dan terkenal dengan sifat tenang, namun keperluan ruangnya besar.
2. Serval
Kucing liar Afrika yang mempunyai kaki panjang, telinga besar dan keupayaan melompat luar biasa.
Di beberapa negeri di AS, ia boleh dimiliki dengan permit khas.
3. Fennec fox
Rubah bertelinga besar dari Afrika Utara ini popular sebagai haiwan peliharaan eksotik kerana saiz kecil dan kecomelan fizikalnya.
Ia antara spesies yang sah dibela di beberapa wilayah AS, Jepun dan Korea Selatan.
4. Sugar glider
Marsupial kecil dari Australia dan Papua, Indonesia yang boleh meluncur dari pokok ke pokok.
Di luar negara, ia menjadi haiwan peliharaan popular, terutama komuniti kecil peminat eksotik.
5. Bearded dragon
Reptilia dari Australia yang mudah dijinakkan dan ramai peminat di UK, AS dan Eropah.
Keunikan fizikal dan perangainya yang ‘cool’ menyebabkan ia laris sebagai haiwan peliharaan.
6. Chinchilla
Haiwan berbulu tebal dari pergunungan Andes ini terkenal kerana bulunya yang sangat lembut.
Mudah dijaga dan popular sebagai ‘small pet’ di AS dan Eropah.
7. Axolotl
Amfibia comel dari Mexico yang kekal berinsang sepanjang hidup.
Ia menjadi fenomena global kerana keupayaan ‘regenerate’ anggota badan dan rupa yang sangat unik.
8. Pacman frog
Katak bertanduk bermulut besar ini terkenal sebagai ‘low maintenance exotic pet’ di luar negara.
Banyak dijual di kedai reptilia dan terrarium.
9. Hedgehog
Spesies Afrika (bukan liar tempatan) menjadi antara haiwan peliharaan paling popular di negara seperti Jepun, UK dan AS, malah diwujudkan juga ‘hedgehog cafe’.
10. Tarantula
Pemilikan labah-labah besar ini semakin biasa di UK dan AS disebabkan sifatnya yang tidak agresif dan mudah dijaga dalam terarium.
Jika di luar negara, undang-undangnya lebih fleksibel sehingga membolehkan haiwan unik dan eksotik dipelihara, namun situasi di Malaysia pula jauh berbeza.
Kebanyakan spesies ini dikategorikan sebagai hidupan liar dilindungi dan pemilikan tanpa permit boleh menyebabkan haiwan dirampas serta pemilik didenda.
Pemilikan haiwan jenis ini tertakluk di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang dikuatkuasakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 untuk Sabah manakala Sarawak menguatkuasakan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.
Sesetengah haiwan tidak memerlukan lesen mahupun permit khas, namun tetap tertakluk kepada undang-undang kebajikan haiwan, peraturan majlis perbandaran selain syarat kediaman.
Berikut langkah perlu diberi perhatian sebelum memelihara haiwan eksotik:
1. Semak undang-undang tempatan
Tidak semua peraturan negara sama.
Di Malaysia atau negeri tertentu, mungkin lebih ketat atau melarang sepenuhnya haiwan itu sebagai peliharaan.
2. Maklumat mengenai penjagaan
Setiap spesies mempunyai keperluan unik daripada diet, habitat, aktiviti hingga interaksi dengan manusia.
Pastikan anda benar-benar bersedia.
3. Kemampanan jangka panjang
Fikirkan jangka hayat haiwan, saiz dewasa, keperluan ruang dan kos penjagaan.
4. Etika dan konservasi
Pastikan haiwan yang diperoleh datang daripada sumber sah, bukan hasil perdagangan haram atau menyebabkan kerosakan kepada alam semula jadi.
5. Kesesuaian dengan gaya hidup anda
Waktu aktif haiwan, bunyi, bau dan keselamatan. Semua ini boleh mempengaruhi keselesaan anda dan keluarga.
Justeru, dengan persediaan betul dan pemahaman mendalam, memelihara haiwan unik boleh menjadi pengalaman yang sangat mengujakan dan menjadi satu kepuasan.
Namun, memelihara haiwan eksotik atau unik bukan semata-mata mengikut trend, tetapi juga datang dengan tanggungjawab besar.
Sebelum terikut-ikut trend media sosial, pemilik perlu semak terlebih dahulu dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) dan jabatan berkaitan bagi mengelak haiwan dirampas serta pemilik didenda atau dipenjara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




