Samsons bawa penonton selam emosi cinta

Samsons bawa penonton selam emosi cinta

wanasr@hmetro.com.my

Persembahan Samsons sempena konsert Samsons Live in Malaysia – Kenangan Terindah di Idea Live Arena, Petaling Jaya, baru-baru ini, menjadi detik pertemuan semula hati, emosi dan kenangan.

Konsert yang meraikan pembabitan lebih dua dekad band pop rock popular Indonesia itu, sekali gus membuktikan mereka terus mekar dalam industri hiburan rantau Asia.

Membuka tirai persembahan dengan lagu Kisah Tak Sempurna diikuti beberapa lagu seperti Akhir Rasa Ini, Kehadiranmu, Hey Gadis dan single terbaharu berjudul Kecanduan.

Nyanyian begitu bersemangat oleh vokalis kumpulan itu, Adrian Martadinata dan diiringi alunan muzik hebat anggota lain seperti Erik Partogi Siagian (gitar); Aldri Dataviadi (bass) dan Irfan Aulia Irsal, 42, (dram) serta pemuzik undangan menghangatkan suasana persembahan.

Di samping menyanyi Adrian juga bijak berinteraksi bersama penonton dengan menceritakan mengenai perjalanan serta serba sedikit sejarah pembabitan bersama kumpulan itu.

“Kami sangat terharu dan gembira dengan kehadiran peminat malam ini. Terima kasih di atas sokongan semua,” katanya.

Irfan yang juga pencipta lagu Kenangan Terindah menyifatkan penyatuan kumpulan itu di atas faktor cinta terhadap kerjaya mereka.

“Cinta yang menyatukan kita semua. Cinta terhadap muzik dan lagu. Jadi, beberapa tahun lalu kami jumpa Adrian. Selain penyanyi, ternyata dia juga komposer yang bagus. Banyak mencipta lagu yang indah,” katanya.

Adrian yang juga komposer buat julung kali menyanyikan lagu ciptaannya, Ajari Aku yang dipopularkan Anuar Zain pada persembahan itu.

Peminat turut menyanyi bersama dengan penuh bersemangat apabila lagu yang disampaikan Samsons seperti mengimbau nostalgia masing-masing.

Kumpulan yang kali terakhir menjayakan konsert solo di ibu negara sekitar dua tahun lalu itu terus mengorak langkah dengan karya baru serta segar.

Menariknya persembahan konsert itu dibina berasaskan lima elemen simbolik iaitu api, bumi, air, udara dan logam, sekali gus mewakili lima album Samsons sepanjang 22 tahun karya gemilang.

Elemen keenam, cinta membuka lembaran baharu dengan pelancaran lagu berjudul Tentang Kita yang buat pertama kali dipersembahkan secara langsung kepada peminat Malaysia.

Kata Adrian, single terbaharu itu cukup istimewa untuk peminat dan ia mengisahkan mengenai mereka dan peminat.

Segmen akustik pula menyerlahkan sisi berbeza Samsons apabila Adrian memaklumkan persembahan itu lebih santai dan dekat dengan peminat mereka.

“Ini kali pertama kami nyanyikan lagu secara akustik di sini. Kami mahu lebih dekat dan berinteraksi dengan semua,” katanya selepas menyanyikan lagu Di Ujung Jalan, Jika Nanti dan Tak Bisa Memiliki.

Menghangatkan pentas persembahan apabila Adrian mengundang seorang peminat wanita yang bertuah untuk naik ke pentas. Wanita itu diminta menjadi pelakon seperti sedang menjayakan muzik video bagi lagu Bukan Diriku.

Suasana menjadi gamat dengan ribuan penonton yang tidak berhenti menyanyi dari awal hingga akhir persembahan.

Konsert anjuran Orlaith Inc yang berlangsung lebih dua jam itu turut menyaksikan Samsons menyampaikan lebih 20 lagu antaranya Tuhan Tak Pernah Salah, Ternyata Cinta, Rasa

Yang Salah, Masih Mencintaimu, Ternyata Cinta, Bukan Diriku, Dengan Nafasmu dan Naluri Lelaki.

Paling dinantikan peminat adalah lagu wajib mereka iaitu Kenangan Terindah dari album Naluri Lelaki yang diterbitkan pada awal 2006, sekali gus membuatkan penonton berdiri sambil menari dan menyanyi bersama-sama.

Samsons menutup persembahan dengan lagu Seandainya yang membawa maksud mendalam dan meninggalkan memori indah buat peminat di negara ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top