Belgium mampu cipta kejutan

Belgium mampu cipta kejutan

Los Angeles: Penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois percaya negaranya mampu mencipta kejutan dengan menewaskan Sepanyol pada aksi suku akhir Piala Dunia 2026 awal pagi Sabtu ini, susulan peningkatan prestasi pasukan itu.

“Semua pemain dalam pasukan sedar perkara itu mampu dilakukan. Saya fikir kami memiliki skuad yang kuat dengan kualiti perlu diberi perhatian oleh Sepanyol,” katanya kepada wartawan menjelang sesi latihan, semalam.

“Setiap kejohanan pasti ada kejutan… sama ada Liga Juara-Juara, Liga Europa mahupun Piala Dunia.

“Selalu ada kejutan dan saya percaya kami boleh menjadi salah satu daripadanya. Menyingkirkan juara Eropah sudah tentu satu kejutan besar. Keyakinan itu ada,” katanya selepas Belgium membelasah tuan rumah bersama, Amerika Syarikat 4-1 di Seattle, Isnin lalu.

Belgium melalui saingan peringkat kumpulan dengan aksi kurang meyakinkan sebelum muncul juara kumpulan hasil kemenangan 5-1 ke atas New Zealand selepas sebelum itu seri menentang Mesir dan Iran.

Mereka kemudian bangkit daripada ketinggalan dua gol dalam tempoh lima minit terakhir ketika bertemu Senegal untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan sebelum menang 3-2 menerusi sepakan penalti pada saat akhir.

“Ramai sedikit kecewa dengan kami, tetapi kami sudah membuktikan kemampuan sebenar. Kami semakin baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” kata Courtois.

“Sudah tentu Sepanyol pasukan pilihan. Mereka sangat hebat menguasai bola dan apabila kehilangan bola, mereka segera melakukan tekanan. Di situlah kuncinya, kami perlu bijak mengeksploitasi ruang di belakang benteng pertahanan mereka.”

Sepanyol mara ke suku akhir selepas pemain gantian, Mikel Merino menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-91 ketika menewaskan Portugal 1-0 di pusingan 16 terakhir.

“Saya fikir gol ketika menentang Portugal menggambarkan kekuatan mereka. Kami tahu Lamine Yamal memiliki bakat luar biasa dalam situasi satu lawan satu. Dia pantas, lincah dan mampu melepasi dua pemain jika perlu,” katanya.

Courtois yang dianggap antara penjaga gol terbaik dunia, cukup mengenali corak permainan Sepanyol selepas pernah beraksi bersama Atlético Madrid dan Real Madrid CF.

“Saya tinggal di Sepanyol selama 11 tahun. Kehidupan di sana sedikit berbeza, jadual harian lebih lewat dan cuacanya lebih baik. Tetapi akhirnya saya tetap rakyat Belgium.

“Sepanyol ibarat rumah kedua saya dan mungkin saya akan terus menetap di sana selepas bersara. Saya juga mempunyai dua anak yang secara semula jadinya lebih berjiwa Sepanyol daripada Belgium, namun untuk perlawanan esok, tumpuan saya hanya kepada Belgium,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top