Berpasangan selama 58 tahun, Ziana gambarkan kehidupan ibu bapa persis filem cinta

Berpasangan selama 58 tahun, Ziana gambarkan kehidupan ibu bapa persis filem cinta

Shah Alam : Pasangan sehidup semati.

Itu gambaran diberi Ziana Zain mengenai pemergian bonda tercinta, Allahyarham Robiah Abdul, 74, yang menyusul kira-kira empat bulan pemergian bapa, Allahyarham Zain@Zin Abdullah, 87, Ogos lalu.

Ziana berkata, kisah hidup ibu bapanya umpama filem cinta di mana selama 58 tahun hidup bersama, payah sekali buat arwah ibu melupakan sosok suami yang menjadi tempat bergantung selama ini.

“Mungkin sebab arwah emak sedih dan kemurungan selepas abah pergi, jadi, penyakit kanser yang dihidapi cepat menyerang. Mereka sudah berkahwin 58 tahun, iaitu dari umur 16 tahun, emak sudah berkahwin. Jadi, arwah abah itu adalah segala-galanya buat emak kerana itulah dunia dia.

“Selepas pemergian abah, walaupun emak berusaha sembunyikan kesedihan. namun, saya tahu, emak sebenarnya sangat ‘down’. Emak pernah cakap dia sudah tidak ada apa-apa selepas abah pergi. Kami adik-beradik pula sudah ada kehidupan masing-masing bersama anak-anak dan pasangan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas jenazah Allahyarham Robiah dikebumikan di Tanah Perkuburan Elmina di sini, hari ini.

Ziana membayangkan kisah hidup ibu bapa persis filem cinta.

“Inilah apa yang orang katakan, sehidup semati dan cinta abadi. Tidak banyak pasangan ada cinta seperti itu. Lebih-lebih lagi, cinta sejati dalam kalangan orang muda yang sudah kian berkurangan,” katanya.

Ziana berkata, ibunya tidak meminta apa-apa sebelum pergi. Namun, ratu hatinya itu berpesan kepada adik-beradik untuk beliau disemadikan di tanah perkuburan yang berhampiran dengan kediaman mereka.

Namun, apa yang membuatkan Ziana lega, kedua-dua insan tersayang itu disemadikan berhampiran.

“Sebelum pergi, emak tidak ada cakap apa-apa. Cuma emak berpesan jika dia meninggal, emak minta kami kebumikannya berhampiran dengan tempat tinggal kami. Emak kata jangan susah-susah bawa balik (jenazah) ke Melaka.

“Selain itu, emak juga berpesan supaya kami adik beradik tidak berpecah. Sikit sama sikit, banyak sama banyak. Jadi, saya cakap kepada mak, insya-Allah, saya akan cuba pegang kata-katanya itu”,” katanya.

Allahyarham Robiah meninggal dunia pada jam 10.44 malam tadi, selepas setahun disahkan menghidap kanser hati. Allahyarham Robiah meninggalkan lima cahaya mata termasuk penyanyi popular, Anuar Zain serta 13 cucu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top