PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memuktamadkan senarai calon yang bakal dipertaruhkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, esok.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) akan diadakan esok bagi memutuskan jumlah kerusi dan calon-calon yang akan bertanding.
Katanya, pengumuman calon pula akan dibuat pada hari Jumaat selepas ketetapan selesai dibuat oleh MPT.
“Pada masa sama, kita juga akan membincangkan dan memutuskan permohonan beberapa parti yang memohon untuk menggunakan lambang Bersatu pada PRN Negeri Sembilan.
“Ada beberapa parti menyatakan minat secara lisan namun kita minta untuk menghantar surat permohonan supaya dapat dibincangkan dan diputuskan oleh MPT Bersatu,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Bersatu melahirkan rasa kecewa dengan keputusan-keputusan unilateral Pas yang bertentangan dengan kepentingan Perikatan Nasional (PN).
“Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan Pas untuk memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor dan kini PRN Negeri Sembilan tidak pernah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi PN.
“Ia jelas bertentangan dengan kepentingan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional yang menawarkan alternatif kepada BN dan PH,” katanya.-UTUSAN




