Bil elektrik naik: Jangan hanya suruh rakyat berjimat – AMK

SHAH ALAM – Kenaikan bil elektrik sebanyak RM30, RM50 atau RM100 mungkin kelihatan kecil, namun memberi tamparan besar kepada keluarga biasa yang perlu mengutamakan perbelanjaan asas seperti susu anak, barangan dapur dan keperluan persekolahan.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, pengguna yang menggunakan kadar elektrik melebihi 600 kilowatt-jam (kWh) sebulan kini terdedah kepada peningkatan pelarasan bahan api automatik (AFA).

Menurutnya, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) perlu segera menilai semula tahap AFA bagi pengguna domestik.

“Kadar AFA telah meningkat daripada 2.59 sen/kWh pada Jun kepada 3.59 sen (Julai), 3.80 sen (Ogos) dan 3.67 sen bagi bulan September ini.

“Kita mungkin tidak mampu mengawal harga global, tetapi kita boleh menentukan berapa banyak tekanan itu patut dipindahkan kepada rakyat di negara ini.

“Had 600 kWh semata-mata tidak semestinya menggambarkan kemampuan. Keluarga B40 dan M40 dengan ramai tanggungan, warga emas atau ahli keluarga yang memerlukan peralatan perubatan di rumah mungkin menggunakan elektrik lebih tinggi kerana keperluan, bukan kemewahan,” katanya dalam hantaran media sosial pada Selasa.

Tambah beliau, kerajaan tidak perlu kembali kepada subsidi pukal, sebaliknya mempertimbangkan perlindungan AFA secara bersasar dan berperingkat dengan mengambil kira faktor pendapatan, tanggungan dan keperluan sebenar isi rumah.

Dalam masa sama, Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu menjadikan skim Tarif Waktu Penggunaan (TOU) lebih mudah dan benar-benar bermanfaat kepada rakyat.

Ujarnya, menerusi skim itu, penggunaan pada waktu luar puncak seperti selepas jam 10 malam, sebelum jam 2 petang pada hari bekerja dan sepanjang hujung minggu boleh menikmati kadar yang lebih rendah.

“Dengan jutaan data daripada meter pintar, TNB sepatutnya boleh membantu pengguna mengetahui sama ada TOU sesuai dengan corak penggunaan mereka dan berapa sebenarnya mereka boleh jimat jika sebahagian penggunaan dialihkan ke waktu luar puncak.

“Jangan sekadar suruh rakyat berjimat. Tunjukkan kepada rakyat bagaimana mereka boleh berjimat.

“Namun TOU bukan jawapan kepada semua masalah. Keluarga dengan anak kecil, warga emas atau ramai penghuni tidak semestinya mempunyai kebebasan untuk mengalihkan penggunaan elektrik ke waktu malam,” ujar beliau.

Oleh itu, penyelesaian kepada tekanan bil mesti merangkumi TOU, perlindungan AFA yang lebih bersasar dan intervensi kerajaan apabila berlaku kejutan luar biasa terhadap harga tenaga dunia.

Scroll to Top