NIBONG TEBAL : Lapan pemilik premis di sini telah dikenakan tindakan tegas termasuk didenda oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kerana membina ‘ramp’ atau lantai konkrit tanpa kebenaran.
Jurucakap MBSP berkata, tindakan itu diambil dalam satu operasi penguatkuasaan di sepanjang Jalan Pekaka di sini, semalam.
Terdahulu katanya, operasi itu diketuai oleh pegawai daripada Direktorat Penguatkuasaan dengan penglibatan seramai 20 anggota daripada pelbagai unit serta dibantu oleh anggota daripada Jabatan Pengurusan Krisis MBSP susulan aduan yang diterima.
“Struktur itu terpaksa dirobohkan kerana ia dibina dalam kawasan terlarang iaitu di tempat letak kereta yang telah diwartakan di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS).
“Dalam hal ini, kesemua pemilik premis terbabit dikesan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan tindakan juga telah diambil mengikut peruntukan seksyen 46(3)(a) akta yang sama,” katanya di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemilik premis di seluruh kawasan Seberang Perai adalah dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, ini termasuk tidak membina sebarang struktur binaan tanpa kebenaran seperti ‘ramp’ konkrit sehingga boleh menyebabkan berlakunya halangan kepada orang awam yang lain.-UTUSAN




