Barisan Nasional (BN) Johor mengambil pendirian tegas untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, berdasarkan kedudukan semasa politik negeri yang disifatkan bukan lagi di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Seperti saya kata, di Johor tiada Kerajaan Perpaduan. Jadi, kenapa nak berbincang dengan PH (Pakatan Harapan),”ujarnya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dibuat berasaskan realiti politik di Johor yang sebelum ini menyaksikan BN dan UMNO mempunyai majoriti jelas dalam pembentukan kerajaan negeri.
Beliau turut menegaskan BN dan UMNO Johor tidak perlu mengadakan perbincangan lanjut dengan kepimpinan Kerajaan Perpaduan berhubung keputusan tersebut, kerana jangkaan awal menunjukkan ia tidak akan mendapat persetujuan semua pihak.

“Semua pihak perlu faham kerajaan negeri Johor adalah kerajaan BN yang ada majoriti (ketika membentuk kerajaan).
“Atas sebab itulah keputusan ini dibuat (bertanding semua 56 DUN) oleh kepimpinan BN di peringkat negeri,” ujarnya lagi pada sidang media selepas melancarkan Program Jiwa Murni MADANI Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) 2026 di FELDA Maokil 1, di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini memaklumkan BN Johor bersetuju untuk bertanding di semua kerusi DUN selepas mengambil kira pandangan rakyat serta suara kepimpinan akar umbi.

Beliau berkata keputusan itu turut dicapai hasil perbincangan bersama pucuk pimpinan parti bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri selain meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
Pada PRN Johor ke-15 pada Mac 2022, BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan MUDA satu kerusi.
DUN Johor dijangka terbubar secara automatik pada 21 April tahun depan, dengan PRN Johor ke-16 perlu diadakan selewat-lewatnya sekitar Jun 2027.




