Bob Lokman akan jalani pembedahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Dalam tempoh 2 hari, kos RM60,000 berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai dan pelbagai pihak untuk tujuan pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) bagi menstabilkan denyutan jantung pelakon, pelawak dan penulis lirik popular iaitu Bob Lokman.

Bob yang kini berusia 56 ketika dihubungi berkata dia akan dimasukkan ke sebuah hospital di Selangor esok dan pembedahan itu boleh dilakukan jika semua pemeriksaan berjalan lancar.

“Namun, bila tarikh sebenar pembedahan, saya tidak tahu lagi. Semuanya bergantung dengan pemeriksaan doktor”, katanya kepada media Harian Metro.

Pada masa sama, Bob turut mengakui perasaannya kini ‘lain macam’ untuk menjalani pembedahan itu.

“Apa perasaan saya yang sebenar, hanya Allah yang tahu. Tapi, memang lain macam sikit walaupun ikutkan ini adalah pembedahan kali keempat saya. Harap semuanya selamat dan saya kembali sihat semula. Mohon sama-sama doakan saya untuk pembedahan ini”, katanya.

Bob berkata, dia berharap keadaan kesihatannya lebih baik selepas menjalani pembedahan jantung berkenaan.

Mengulas keadaan kesihatan, Bob berkata bahawa keadaannya lebih baik namun dia tidak boleh terlalu banyak bergerak kerana cepat berasa letih.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang sudah membantu menghulur sumbangan dan saya juga mohon maaf kepada semua di atas kesilapan dan kesalahan dalam kerjaya seni saya. Maafkan segala dosa saya sekiranya sudah membuat anda semua marah, benci dan tidak suka pada lawak dan lakonan saya ketika aktif dahulu”, katanya.

Bob yang turut menghidap beberapa penyakit kronik lain memaklumkan bahawa memang menjadi rutin bulanannya menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital.

Menurut Bob, kos ubat-ubatannya setiap bulan mencecah RM700 dan dia bersyukur masih ada rakan-rakan, pihak berkaitan dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Muslim Care Malaysia yang menghulurkan bantuan.

Katanya, dia bergantung kepada pendapatan hasil jualan tempahan makanan yang disediakan isterinya iaitu Relawati Daud bagi menyara keluarga ketika ini.

Bagi sesiapa yang ingin memberi sumbangan boleh ke akaun Maybank bernombor 162348359386 atas nama Relawati Daud (isteri Bob) atau akaun Maybank bernombor 564490211159 atas nama Muslim Care Malaysia.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Glamour Desk