FC3 Club kembali, sedia gegar Stadium MBPJ

FC3 Club kembali, sedia gegar Stadium MBPJ

PETALING JAYA: Kelab bola sepak selebriti Hong Kong, FC3 Club bakal kembali menghangatkan pentas bola sepak tempatan apabila turun menentang Selangor FC Legends dalam aksi amal The Bridge of Legends Hong Kong Celebrities Football Friendly Match di Stadium MBPJ pada 10 Oktober ini.

Perlawanan yang dianjurkan Orange Leisure Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pew Pew Resource itu dijadual berlangsung dari pukul 8 malam hingga 10 malam, dengan sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan kepada Make-A-Wish Malaysia bagi membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal.

Majlis pelancaran perlawanan berkenaan disempurnakan Puteri Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah, selain dihadiri wakil Selangor FC Legends, Make-A-Wish Malaysia serta pihak penganjur.

FC3 Club yang menghimpunkan barisan pelakon dan penyanyi terkenal Hong Kong ditubuhkan ketika penggambaran drama Fearless di Malaysia pada 2024 sebelum berkembang menjadi sebuah kelab bola sepak rasmi.

Carlos Chan, Locker Lam, Adrian Chau, Tony Wu dan bekas pemain antarabangsa Hong Kong, Kumar So mengakui Malaysia mempunyai tempat yang cukup istimewa kerana di sinilah tercetusnya idea penubuhan FC3 Club.

“Segalanya bermula di Malaysia. Kembali ke sini untuk beraksi semula memberikan makna yang cukup istimewa kepada kami,” kata mereka.

FC3 Club kembali, sedia gegar Stadium MBPJ
Tengku Zatashah (tiga dari kanan) bersama selebriti Hong Kong, FC3 Club.

Pasukan itu dibarisi beberapa nama popular industri hiburan Hong Kong seperti Kaho Hung, Jer Lau (Jer@MIRROR), Carlos Chan, Tony Wu, Adrian Chau, Edward Ma, Elvin Wong, Jonathan Li, Terry Ng dan Kumar So, manakala Locker Lam akan mengetuai pasukan selaku kapten.

Locker Lam mengakui bukan mudah menghimpunkan semua pemain memandangkan masing-masing mempunyai komitmen penggambaran yang padat.

“Walaupun sukar mengumpulkan semua orang untuk berlatih, melihat persahabatan yang terjalin dan perkembangan kelab ini menjadikan segala usaha amat berbaloi,” katanya.

Kumar So pula mendedahkan minat mendalam Carlos Chan terhadap bola sepak menjadi antara pencetus utama kepada penubuhan FC3 Club.

Carlos Chan berharap mereka mampu menyajikan aksi menghiburkan buat penyokong yang hadir sambil berseloroh tidak sabar untuk menikmati durian ketika berada di Malaysia.

“Kami berharap dapat mempersembahkan satu perlawanan yang menarik dan kompetitif kepada semua peminat,” katanya.

Tony Wu menyifatkan Malaysia mempunyai nilai sentimental buat FC3 Club, manakala Adrian Chau berharap kunjungan kali ini memberi peluang kepadanya merasai pengalaman beraksi di negara ini selain bertemu peminat tempatan.

Jualan tiket akan dibuka bermula pukul 12 tengah hari, 30 Julai ini dengan harga RM368, RM168, RM98 dan RM68 mengikut kategori, tidak termasuk caj tempahan. – UTUSAN

Scroll to Top