Brazil bergaya belasah Panama

Brazil bergaya belasah Panama

Rio de Janeiro: Brazil menampilkan aksi meyakinkan apabila membelasah Panama 6-2 dalam perlawanan persahabatan terakhir mereka di Stadium Maracana, awal pagi tadi.

Bintang Vinicius Junior membuka jaringan seawal minit pertama selepas menerima hantaran Casemiro sebelum melepaskan rembatan padu dari jarak 25 meter.

Namun Panama mengejutkan tuan rumah pada minit ke-14 apabila sepakan percuma Michael Murillo terkena pemain Brazil, Matheus Cunha, sebelum menerjah gawang yang dikawal Alisson Becker.

Brazil kembali di depan enam minit sebelum rehat menerusi tandukan Casemiro selepas percubaan Vinicius dari sebelah kiri kotak penalti.

Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti, melakukan pertukaran besar-besaran pada separuh masa kedua dengan hanya Leo Pereira dikekalkan daripada kesebelasan utama.

Brazil terus menguasai permainan apabila meledak tiga gol dalam tempoh 10 minit.

Pemain muda berusia 19 tahun, Rayan, menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-53 selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol Panama, Orlando Mosquera.

Lucas Paqueta kemudian menambah gol keempat pada minit ke-60 sebelum Igor Thiago menyempurnakan sepakan penalti tiga minit kemudian untuk menjadikan kedudukan 5-1.

Pemain Botafogo, Danilo, melengkapkan pesta gol Brazil pada minit ke-81 menerusi penyudah kemas hasil hantaran Paqueta.

Panama memperoleh gol sagu hati menerusi rembatan jarak jauh Carlos Harvey pada penghujung perlawanan.

Brazil akan menentang Mesir dalam satu lagi aksi persahabatan di Cleveland, minggu depan sebelum memulakan kempen Kumpulan C Piala Dunia menentang Maghribi pada 13 Jun.

Mereka turut dijadual berdepan Haiti dan Scotland pada pusingan pertama kejohanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top