Buat aksi dramatik sebelum berjaya ditahan polis

Buat aksi dramatik sebelum berjaya ditahan polis

am@hmetro.com.my

Tawau: Polis mengejar sebuah kereta dinaiki lima individu sejauh 45 kilometer (km) sebelum kenderaan itu berjaya dipintas dan kelima-limanya ditahan.

Aksi dramatik itu bermula selepas kereta jenis Proton Saga melanggar sekatan jalan raya di kawasan Industri Megah, Jalan Tiku, di sini, kira-kira 8 malam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kereta itu sudah diarahkan berhenti namun pemandu bertindak memecut menyebabkan tiga anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dam sebuah Kereta Peronda (MPV) mengejar menerusi laluan di Jalan Timur, Jalan Bunga Raya dan Jalan Chong Thien Vun.

“Kenderaan suspek dihentikan di Batu 12 Jalan Apas selepas lebih 45 minit dikejar dan pemeriksaan mendapati terdapat seorang pemandu lelaki dan empat penumpang warga asing masing-masing dua lelaki serta wanita berusia 29 hingga 43 tahun.

“Pemandu tempatan itu didapati tiada lesen memandu selain kereta digunakan tiada cukai jalan, manakala warga asing tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Menurutnya, semua mereka ditahan dengan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 26 serta Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial apabila orang awam sempat merakam detik-detik dramatik antara polis dan suspek yang cuba melarikan diri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top