Buat u-turn LTU Raub: Lepas raya jumpa di balai polis – Shahril

Buat u-turn LTU Raub: Lepas raya jumpa di balai polis – Shahril
@malaysiagazette

Tular rakaman video kereta membuat pusingan u di lebuhraya CSR Raub. Maklumat lanjut akan dikemaskini. Video: Sosial Media #malaysiagazette #CSRRaub #uturn #pusinganU

♬ original sound – malaysiagazette – malaysiagazette

RAUB – Individu yang merakam insiden membuat pusingan U secara melawan arus di Lebuh Raya Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) bypass Raub akan dipanggil membantu siasatan selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, perakam suara wanita, pemandu dan kesemua pemandu kenderaan di dalam video itu kini sedang dikesan pihaknya.

Menurutnya, pihak polis sedang mengesan semua pihak berdasarkan nombor plat kenderaan berada lebuh raya seperti tertera rakaman tersebut.

“Semua kenderaan yang nampak dalam video termasuk individu perakam yang membuat rakaman dan menularkannya juga akan dipanggil.

“Selepas dari video tersebut terdapat beberapa buah kenderaan yang dapat dikesan selepas melakukan pemeriksaan melalui Mysikap JPJ bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Susulan itu kes berkenaan akan disiasat di bawah Peraturan 13(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 LN166/59 oleh pegawai penyiasat IPD Raub, Inspektor Mohd Adnan Abas Azmi.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan video yang tular di media sosial memaparkan satu kejadian dipercayai berlaku di daerah Raub iaitu Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) mendapat hampir satu juta tontonan.

Difahamkan kejadian yang berlaku pada sekitar 2 hingga 4 petang Jumaat telah dimuatnaik laman sosial Facebook Maafsebut dan laman media sosial Tiktok yang bernama @ctzu96.

Dalam kedua-dua video klip tersebut menunjukkan rakaman pengguna jalan raya telah membuat pusingan balik di jalan tersebut dan memandu lawan arah untuk mengelakkan kesesakan lalulintas.

Tindakan tersebut mengundang komen dan kecaman negatif dari masyarakat apabila membuat pusingan-u secara melawan arus selepas melihat kenderaan beratur panjang dalam trafik sesak.

Ekoran itu, insiden berkenaan juga memperlihatkan tindakan beberapa pemandu dalam video tersebut telah menyebabkan kegusaran dan bahaya kepada pengguna jalan raya lain. – MalaysiaGazette