Bubar DUN: Belum pasti Negeri Sembilan ikut Johor

Bubar DUN: Belum pasti Negeri Sembilan ikut Johor

SEREMBAN – Spekulasi berkenaan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan masih menjadi tanda tanya meskipun Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini memaklumkan DUN negeri itu akan dibubarkan jika Johor mengambil langkah pertama.

Malah, sesi rutin Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap pada Rabu turut menimbulkan persoalan.

Ini kerana pertemuan tersebut dilihat berlangsung lebih lama iaitu hampir dua jam.

Aminuddin yang disapa pemberita sebaik kenderaannya dilihat keluar daripada Istana dengan ceria memaklumkan bahawa kehadirannya ke situ adalah pertemuan biasa.

“Biasa-biasa hari Rabu” katanya ringkas.

Beliau kemudiannya menuju ke Wisma Negeri bagi mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan(MMK) Negeri.

Kebiasaannya selepas mesyuarat tersebut, beliau akan mengadakan sidang media yang dijadualkan pada jam 1.30 tengah hari.

Namun pada jam 12.47 tengah hari, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah memaklumkan kepada media menerusi Whatsapp bahawa sidang media tersebut dibatalkan kerana Aminuddin mempunyai urusan penting.

Beliau bagaimanapun enggan berkongsi lanjut berkenaan urusan berkenaan, sekali gus mencetuskan lebih spekulasi.

Beberapa Exco Negeri Sembilan mengesahkan bahawa isu pembubaran DUN tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada Rabu.

Bagaimanapun mereka mengakui bahawa mesyuarat kali ini tamat lebih awal berbanding biasa.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, beliau tidak mendapat sebarang maklumat jelas berkenaan pembubaran DUN.

“Saya hanya mendengar khabar angin ada pembubaran. Tapi sejauh mana itu saya tak pastilah,”katanya ringkas.

Media pada Selasa melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) bersama beberapa pemimpin parti hadir ke Kediaman Rasmi Menteri Besar seawal jam 9.30 pagi pada Selasa bagi menghadiri mesyuarat khas dipercayai berkaitan pembubaran DUN.

Bagaimanapun Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Aminuddin itu bukanlah mesyuarat khas seperti yang diperkatakan.

“Mesyuarat berlangsung dalam suasana yang harmoni dengan semangat keluarga PH Negeri Sembilan. Kami membincangkan kesiapsiagaan jentera pilihanraya PH untuk PRN yang bakal menjelang,” kata Ahli Parlimen Rasah itu menerusi akaun Facebook miliknya.

 

Scroll to Top