Kangar: Polis masih meneruskan siasatan kes tiga pelajar lelaki tingkatan satu sebuah sekolah menengah, di sini, yang disyaki membuli seorang pelajar lelaki sebaya sehingga mendatangkan kecederaan walaupun ketiga-tiga mereka dilepaskan dengan jaminan polis petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, tiga pelajar lelaki itu yang sejak Sabtu lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan dilepaskan pada 6 petang.
“Siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya ringkas dalam kenyataan hari ini.
Pada 18 Julai lalu, polis menahan tiga pelajar lelaki berkenaan kerana disyaki membuli pelajar lelaki sebaya mereka itu sehingga mendatangkan kecederaan pada Khamis lalu.
Yusharifuddin dipetik sebagai berkata pihak polis menerima laporan berhubung kejadian dipercayai membuli itu pada 11.27 malam Khamis, dengan mangsa mengalami keretakan pada bahagian buku lali kiri manakala kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dalam satu kenyataan semalam memaklumkan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku buli di institusi pendidikan dan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




