am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Dua remaja maut manakala seorang cedera selepas tiga motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Jalan Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 8.05 malam.
“Hasil siasatan awal, kemalangan difahamkan berlaku pada jam 6.30 petang ketika sebuah motosikal Honda EX5 sedang bergerak terus dilanggar dari arah belakang oleh SYM BX110 lalu Honda EX5 terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar Yamaha Ego Avantiz di bahagian hadapan.
“Kemalangan itu menyebabkan penunggang SYM BX110, Muhamad Hazim Mohd Zawawi, 17, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan maut di tempat kejadian.
“Penunggang Yamaha Ego Avantiz, Muhammad Rifqi Rayyan Abdul Rahim, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Rakit, turut maut di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, penunggang Honda EX5 yang berusia 15 tahun cedera dan kini mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.
“Manakala mayat dua mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultan Zainal Abidin untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kenderaan terbabit dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




