Bursa Malaysia ditutup lebih rendah

Bursa Malaysia ditutup lebih rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri sesi urus niaga hari ini bercampur-campur dengan indeks utamanya berada dalam zon merah berikutan aktiviti jualan berterusan membabitkan kaunter berwajaran tinggi terpilih, didahului oleh Digi dan IHH Healthcare.

Pada jam 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.73 mata atau 0.05 peratus kepada 1,531.63, daripada 1,532.36 pada penutupan petang Isnin.

Indeks utama dibuka 0.44 mata lebih rendah pada 1,531.92 dan bergerak antara 1,530.75 dan 1,536.47 sepanjang hari.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi 580 berbalas 417 manakala 426 kaunter tidak berubah, 749 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 6.75 bilion unit bernilai RM3.65 bilion daripada 6.5 bilion unit bernilai RM3.59 bilion sebelumnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Digi turun 11 sen kepada RM4.09, IHH Healthcare susut enam sen kepada RM5.56, Public Bank merosot dua sen kepada RM4.10, Maybank lemah tiga sen kepada RM8.10, Sime Darby Plantation jatuh lima sen kepada RM3.95 dan CIMB dua sen lebih rendah kepada RM4.59.

Sementara itu, Press Metal melonjak 23 sen kepada RM5.09, Petronas Gas naik dua sen kepada RM15.58 dan Axiata tidak berubah pada RM3.80.

Bagi saham aktif, Serba Dinamik naik 2.5 sen kepada 51 sen, Privasia meningkat 4.5 sen kepada 26 sen, Euro Holdings menambah 14 sen kepada RM1.15, Sapura Energy dan MMAG Holdings masing-masing tidak berubah pada 13 sen dan 14 sen, sementara Metronic turun dua sen kepada 5.5 sen dan Kumpulan Jetson lega 8.5 sen kepada 47 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 20.49 mata kepada 11,170.21, Indeks FBMT 100 mengukuh 11.56 mata kepada 10,869.55, dan Indeks FBM Emas Syariah bertambah 45.86 mata kepada 12,209.13.

FBM ACE melonjak 90.23 mata kepada 7,419.25, sementara FBM 70 meningkat 80.72 mata pada 14,477.60.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 51.36 mata kepada 15,065.66, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.29 mata kepada 190.31 dan Indeks Perladangan naik 6.79 mata kepada 6,388.36.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 4.73 bilion saham bernilai RM2.96 bilion daripada 4.84 bilion saham bernilai RM2.93 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 226.05 juta unit bernilai RM24.41 juta daripada 241.76 juta unit bernilai RM21.83 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 1.80 bilion saham bernilai RM666.18 juta daripada 1.42 bilion saham bernilai RM634.26 juta semalam.

Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 681.56 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.22 bilion), pembinaan (176.57 juta), teknologi (579.70 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (41.97 juta), hartanah (134.33 juta), perladangan (20.70 juta), REIT (6.76 juta), dana tertutup (12,400), tenaga (1.68 bilion), penjagaan kesihatan (64.08 juta), telekomunikasi dan media (4.98 juta), pengangkutan dan logistik (58.50 juta) dan utiliti (14.56 juta).

– BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top