Cadangan penubuhan Lembaga Keamanan Gaza: Mohamad beri taklimat Jumaat ini

Cadangan penubuhan Lembaga Keamanan Gaza: Mohamad beri taklimat Jumaat ini

am@hmetro.com.my

Seremban: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan memberikan taklimat kepada Jemaah Menteri berhubung cadangan penubuhan Lembaga Keamanan Gaza diketuai Amerika Syarikat (AS) pada mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.

Menurutnya, Malaysia perlu berhati-hati kerana ia bukan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetapi AS dan beberapa negara lain.

“Saya akan memberi taklimat kepada Kabinet pada hari Jumaat nanti. Apa pelan tindakan dan peranan yang Malaysia boleh lakukan, tetapi yang pentingnya kita perlu berhati-hati.

“Kita tidak mahu nanti kita terperangkap di tengah jalan kerana dilantik dalam lembaga itu begitu sahaja, tapi akhirnya mereka (yang lain) letak jawatan.

“Malaysia akan mengambil bahagian dengan syarat kita mendapat mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Senawang, di sini, lewat petang tadi.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, lembaga berkenaan adalah inisiatif yang dilakukan oleh Presiden AS Donald Trump bersama dengan bantuan kerajaan Turki, Mesir, Qatar dan juga negara lain yang mahu melihat supaya kekejaman terhadap rakyat Palestin dihentikan.

“Bagaimanapun, kita kena lihat dulu kerana lembaga ini adalah badan yang longgar. Bukan ditubuhkan oleh PBB tetapi oleh Amerika Syarikat dan juga rakan-rakannya.

“Fokus kita ialah selagi ia dapat memberikan keamanan dan rakyat Palestin boleh pulang ke tanah air mereka selain ada bantuan kemanusiaan disalurkan terutamanya makanan,” katanya.

Ahli Parlimen Rembau itu melahirkan kebimbangan terhadap tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang tidak membenarkan kerajaan Turkiye membawa masuk 3,500 kontena untuk keperluan orang Palestin dalam berdepan dengan musim sejuk melanda negara itu ketika ini.

“Kontena ini digunakan sebagai penempatan sementara ketika rakyatnya berdepan dengan gempa bumi sebelum ini, ia masih baik lagi dan mahu diberikan kepada orang Palestin di Gaza untuk diguna pakai. Tapi Israel, tidak mahu membenarkan.

“Kita amat kesal kerana bukan apa, ini isu kemanusiaan, sekarang ini musim hujan di bumi Palestin, tapi tidak juga dibenarkan. Itu sebab kita kena berhati-hati dengan penubuhan Lembaga Keamanan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top