Chuan Leong terus dominasi snuker, raih emas keenam sejak 2013

Chuan Leong terus dominasi snuker, raih emas keenam sejak 2013

sukan@hmetro.com.my

Bangkok: Pemain snuker berpengalaman negara, Thor Chuan Leong, mempamerkan aksi meyakinkan untuk menjuarai acara 6 red perseorangan lelaki Sukan Sea Thailand selepas menewaskan wakil tuan rumah, Poramin Danjirakul, 5-2 di Stadium Thunder Dome, hari ini.

Chuan Leong yang beraksi cukup klinikal dengan catatan frame 36-24, 46-0, 70-0, 0-46, 41-28, 0-66, 63-0 meraih emas keenam kariernya di Sukan Sea dan yang pertama dalam disiplin 6 red sejak 2013.

Di sebalik keputusan dominan itu, Chuan Leong mengakui emas kali ini hadir bersama tekanan besar.

“Saya sangat gembira kerana sebelum ini saya sebenarnya sangat tertekan. Ramai kata emas ini penting, terutama kerana Sukan Sea seterusnya di Malaysia,” katanya.

“Dalam kepala saya, sasaran mesti sekurang-kurangnya satu emas. Kadang-kadang tanpa tekanan, kita tak boleh beraksi.

“Jadi saya beri tekanan pada diri sendiri, sebab itu kemenangan ini amat bermakna.”

Walaupun Poramin menerima sokongan padu penyokong tuan rumah, Chuan Leong menegaskan persaingan sebenar bukan dengan lawannya.

“Ia bukan tentang lawan. Saya pernah bermain di UK (United Kingdom) dan jumpa standard yang lebih tinggi. Tekanan itu datang daripada diri sendiri kerana saya mahu menang emas untuk Malaysia,” katanya.

“Sukan Sea ini berbeza. Ia bukan sekadar untuk diri sendiri, tapi untuk negara.”

Berkongsi resipi kejayaannya, Chuan Leong, berkata dia menjalani latihan sehingga 10 jam sehari sebagai persiapan menghadapi temasya kali ini.

Katanya, kemenangan di Terbuka Singapura pada 4 Disember lalu turut meningkatkan lagi tahap keyakinannya.

Kejayaan itu meneruskan penguasaan Malaysia dalam acara enam merah selepas kemenangan Lim Kok Leong (2021) dan Moh Keen Hoo (2023).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top