Colony: Ketika Zombie menyindir AI

Colony: Ketika Zombie menyindir AI

KETIKA Yeon Sang-ho muncul pertama kali dengan Train To Busan, Sang-ho merubah landskap pembikinan filem thriller dengan sebuah apokalips Zombie, bagaimanapun entah kenapa momentum itu sedikit menurun tetapi tidak menjunam setelah Peninsular gagal memenuhi jangkaan penonton.

Namun harapan agar Sang-ho kembali membalas dendam dengan sebuah naskhah lebih menggugah akan selalu ada. Oleh itu, kehadiran Colony menjadi sesuatu yang ditunggu menjadikannya antara filem laris di panggung baik di Korea Selatan begitu juga Malaysia.

Namun, satu perkara tentang filem Zombie adalah cetusan dan perjalanan ceritanya selalu lebih kurang, Sang-ho perlu panjang akal untuk memastikan Colony lain, segar dan masih memancing penonton terhadap naskhah apokalips Zombie ini.

Saya melihat Sang-ho seperti meminjam beberapa potongan daripada filem lain terutama naskhah George A. Romero, tidak salah cuma sedikit mudah ditebak. Walaupun ledakkan pemula kepada kemunculan Zombie sama seperti filem sedia ada, namun Colony bijak bermain dengan konsep Zombie yang unik, tidak bodoh dan menjijikkan.

Zombie dibentuk daripada ‘koloni semut’ sekali gus memperkenalkan ‘hive mind’ iaitu bagaimana Zombie boleh saling berkomunikasi tanpa bahasa dan perkataan tetapi cara fikiran. Bukan itu sahaja, Zombie juga akan selalu berevolusi dan lebih cerdik membuatkan profesor Kwon Se-jeong lakonan Jun Ji-hyun perlu cepat memahami apa yang terjadi dan cara terhebat menumpaskan sesuatu tidak diketahui.

Pendekatan saya mungkin sedikit berbeza ketika mengulas Colony. Namun saya melihat Colony (dengan sengaja atau tidak) sedang menyindir jenaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin membimbangkan.

Colony: Ketika Zombie menyindir AI

Jika kita fikirkan sedikit lebih dalam, kita menggunakan aplikasi AI dengan percuma, jadi apa yang mahu dirugikan? Di mana kegusarannya?

Namun saya berpendapat, pembuat aplikasi janaan AI tidak menjadikan wang sebagai keutamaan, tetapi sebuah kebenaran. Mereka sedang mencipta sebuah dunia yang membentuk persepsi baharu kepada kebenaran, dan jika pengguna tidak berfikiran kritis, mereka akan mempercayai segala yang disuguhkan teknologi.

Berbalik kepada Colony, Zombie adalah sebuah simbol, rangkaian data dan model yang kita guna hari ini akan saling belajar membuatkan data menjadi bertambah pintar. Semacam transhumanisme iaitu gerakan falsafah manusia bergabung dengan teknologi.

Semacam hive mind antara Colony Zombie. Manusia akan semakin kehilangan identiti, kehilangan arah apabila dikawal oleh sistem besar algoritma. Lebih bahaya jika kita tidak lebih besar dan cerdik daripada sesuatu yang kita ciptakan.

Selain pembaharuan dan ciri-ciri Zombie, karakter watak yang terperangkap dalam pusat beli-belah sebenarnya mudah ditebak tetapi masih menarik. Cuma saya menyukai bagaimana dua wanita pintar ditampilkan sangat hebat menjadi pelerai kepada kekusutan yang dimulakan lelaki (ops!) dalam filem ini.

Seol-hee dan Se-jeong walaupun mempunyai sejarah pernah jatuh cinta kepada lelaki yang sama boleh memisahkan antara peribadi dan perkara sangat mendesak.

Colony membunuh segala stereotaip tentang wanita sebagai sebuah figura yang mudah melenting atau cukup beremosi sebaliknya menunjukkan betapa tenangnya kita menghadapi sesuatu yang sangat mencengkam.

Colony tetap menjadi antara filem yang boleh ditonton cuma saya berharap Sang-ho akan kembali dengan sebuah naskhah Zombie dalam ruang lebih sempit seperti yang dibuktikan dalam ‘Train To Busan’ untuk menujukkan kembali kekuatannya,

Scroll to Top