am@hmetro.com.my
Sandakan: Dua sepupu ditemui lemas dalam kolam kuari di Kampung Gum-Gum, di sini, petang tadi.
Setakat ini, mangsa cuma dikenali sebagai Nurfatin, 15, dan Nurdina Nirmala, 17.
Difahamkan, kedua-dua remaja itu pergi ke kolam berkenaan untuk mandi kira-kira jam 5 petang sebelum dilaporkan lemas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.31 petang dan menghantar sepasukan tujuh anggota ke lokasi kejadian untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat.
Katanya, seorang daripada mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Seorang lagi mangsa ditemui pasukan bomba sejurus memulakan operasi.
“Pasukan perubatan yang turut berada di lokasi mengesahkan kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini.
Jimmy berkata, mayat kedua-dua mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi ditamatkan selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




