COVID-19: Abang Johari tinjau Depot Imigresen Semuja

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan meninjau Depot Imigresen Semuja di Serian yang menjadi antara lokasi kluster COVID-19 di Sarawak.

Beliau berkata lawatan pada Isnin itu juga adalah untuk beliau melihat sendiri sama ada terdapat kelemahan pada prosedur operasi standard (SOP) bagi menyekat penularan COVID-19 di depot berkenaan yang terletak kira-kira 70 kilometer dari sini.

Katanya, kluster itu juga adalah antara penyumbang terbesar kes positif negeri semalam, apabila sebanyak 146 kes positif direkodkan.

“Kalau kita lihat kes positif di kawasan lain semua menurun seperti di Kuching, Sibu, Miri tetapi di Semuja 138 kes (positif) semalam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri satu acara di sini, hari ini.

Khamis lalu, Timbalan Ketua Menteri, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kluster Depot Imigresen Semuja dikesan susulan saringan ke atas semua anggota Imigresen dan tahanan di depot berkenaan.

Beliau berkata saringan itu dilakukan berikutan maklumat terdapat individu positif COVID-19 dalam kalangan pendatang tanpa izin yang diusir keluar sebelum ini, dan sehingga semalam, 245 kes positif dikesan bagi kluster itu. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd