COVID-19: Pandemik terus cengkam dunia

Malay News: China merekodkan angka harian tertinggi bagi kes import COVID-19 dengan 97 jangkitan baharu disahkan.

Sekurang-kurang 112,510 pesakit wabak itu maut di lebih 190 negara dan wilayah, menurut penjumlahan AFP berdasarkan sumber rasmi, setakat kira-kira jam 7 malam tadi.

Sejumlah 1,824,950 kes jangkitan telah dilaporkan di seluruh dunia sejak virus itu tercetus di China pada Disember tahun lalu.

Amerika Syarikat (AS) muncul negara paling terkesan ketika ini dengan mencatatkan jumlah tertinggi korban dan jangkitan, iaitu masing-masing 21,489 serta 546,874 kes.

Eropah pula menjadi benua paling terjejas dengan 77,129 kematian daripada keseluruhan 932,205 kes didiagnosis, setakat ini.

Itali mendahului dengan 19,899 kematian, Sepanyol (16,972), Perancis (14,393) dan Britain (10,612).

Dalam pada itu, Bank Dunia memberi amaran bahawa Asia Selatan sedang berdepan ancaman ekonomi terburuk dalam tempoh 40 tahun, sekali gus memberi risiko terhadap pencapaian usaha berdekad-dekad menangani masalah kemiskinan.

Pertumbuhan tahun ini diramalkan untuk rantau itu menjunam kepada 1.8 hingga 2.8 peratus, berbanding unjuran 6.3 peratus sebelum pandemik, dengan sekurang-kurang separuh daripada negara terbabit berdepan ‘kemelesetan teruk’.

Bagi menyekat penularan wabak itu, Lebanon melanjutkan perintah berkurung hingga 26 April ini, manakala Syria pula melanjutkan penutupan sekolah dan universiti hingga 2 Mei.

Argentina juga melanjutkan perintah berkurung hingga 26 April ini di bandar besar, namun mempertimbangkan pelonggaran langkah itu di kawasan luar bandar.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, telah discaj dari hospital selepas berada di unit rawatan rapi selama tiga hari.

Menurut Downing Street, atas nasihat pasukan perubatan, beliau tidak akan segera kembali bekerja dan meneruskan pemulihan kesihatannya di Chequers.

Terdahulu, Johnson memuji petugas yang merawat beliau di sebuah hospital dikendalikan kerajaan itu.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Kanada meluluskan program subsidi gaji yang diumumkan sebagai langkah ekonomi terbesar di negara itu sejak Perang Dunia II, bagi membantu perniagaan dan pekerja mereka berdepan krisis COVID-19.

Kerajaan Britain pula mengumumkan bantuan tambahan £200 juta (228 juta euro) kepada pertubuhan kebajikan negara itu serta pertubuhan antarabangsa bagi membantu negara membangun memerangi COVID-19 dan mencegah gelombang kedua penularannya.
– AFP