
BANGKOK: Thailand mencatatkan 248 kes Covid-19 baharu dan satu kematian, dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan setakat ini 27,402 dan 88 kematian.
Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata daripada 242 adalah penularan tempatan termasuk 163 melalui pengesanan kes aktif dan 79 membabitkan mereka yang mendapatkan rawatan di hospital, dan enam kes import.
“Bangkok mencatatkan 167 kes baharu dengan 154 daripadanya melalui pengesanan kes aktif – 86 di daerah Bang Khae, kelompok baharu yang berkaitan dengan pasar dan 68 kes lain di sebuah kemudahan imigresen di daerah Bang Khen, sementara 13 kes lain yang mendapatkan rawatan di hospital,” katanya pada taklimat harian Covid-19.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Kawalan Penyakit Akut di Jabatan Kawalan Penyakit Dr Chawetsan Namwat berkata satu kematian itu melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 88 tahun dari Bangkok menghidap penyakit buah pinggang, diabetes dan darah tinggi.
Beliau dipercayai dijangkiti daripada seorang ahli keluarga, dan disahkan positif pada 2 Mac dan meninggal dunia semalam.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Awam dan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) memulakan program vaksinasi di daerah Bang Khae.
Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang berkata BMA akan memberikan 6,000 dos vaksin Covid-19 kepada kumpulan berisiko untuk mencegah penyebaran virus.
Setakat ini, pihak berkuasa yang berkaitan telah menjalankan 6,000 pengesanan kes aktif di Bang Khae, dari 11 hingga 17 Mac.
Berdasarkan ujian saringan, sejumlah 268 diuji positif manakala 532 lagi menunggu keputusan ujian.




