Daiyan teruja bintangi drama adaptasi novel ibu

Daiyan teruja bintangi drama adaptasi novel ibu

puterialia@hmetro.com.my

Menyifatkan ia sebagai takdir, pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang menerajui drama adaptasi novel Anom Suraya, sebuah karya nukilan ibunya sendiri.

Daiyan atau nama lengkapnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 33, berkata dia menyifatkan perkara berkenaan sangat istimewa buat dirinya dan ibunya Dr Samsiah Mohd Nor, 61.

“Sebenarnya, saya sangat berbesar hati dan teruja. Pada mulanya, saya rasa perkara ini satu keajaiban yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

“Perkara seperti ini bukan sesuatu yang boleh kita rancang. Siapa sangka, ibu sendiri seorang penulis novel, tiba-tiba karya itu diangkat menjadi drama dan anaknya pula dipilih menjadi pelakon utama.

“Saya melihat ia sebagai satu takdir yang sudah tertulis. Sejak awal lagi, saya sangat bersyukur dengan peluang ini. Ia adalah sebuah karya yang amat istimewa untuk saya dan Mummy,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Ditanya mengenai perasaannya sebelum memasuki set penggambaran, Daiyan mengakui keterujaannya mengatasi rasa gementar.

“Ia impian yang tidak pernah terfikir pun sebelum ini. Memanglah sebagai pelakon kita mahu mencuba macam-macam watak, tetapi untuk berlakon watak dalam novel tulisan ibu sendiri, perkara itu tidak pernah terlintas.

“Saya bukannya tidak gementar langsung, tetapi rasa teruja itu lebih menguasai diri. Saya asyik terfikir bila penggambaran mahu bermula.

“Malah, perkara ini disambut baik dalam kalangan keluarga. Semasa episod pertama ditayangkan, kami berkumpul beramai-ramai untuk menonton bersama. Jadi, momen itu terasa sangat istimewa dan luar biasa buat kami sekeluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Daiyan turut mendedahkan dia sudah lama menyimpan impian untuk membintangi sebuah drama yang diadaptasi daripada novel, malah pernah menerima beberapa tawaran sebelum ini, namun belum mempunyai rezeki.

“Sebenarnya saya sudah lama nak berlakon dalam adaptasi novel. Sebelum ini, ada sahaja tawaran yang datang dan ada penulis mahukan saya berlakon, tetapi tiada rezeki. Akhirnya, novel pertama yang saya jayakan adalah novel tulisan Mummy sendiri,” katanya.

Menyentuh mengenai cabaran skrip dalam naskhah berkenaan, Daiyan mengakui proses bagi menjiwai watak gadis kampung tidak terlalu sukar, namun dia perlu meneliti beberapa perkataan yang kurang difahami agar penyampaiannya dapat dilakukan dengan tepat.

“Ada beberapa perkara memerlukan saya membaca dan bertanyakan maksud sebenar sesuatu perkataan itu kepada mereka.

“Saya perlu sesuaikan diri sedikit. Selain itu, cara bercakap juga tidak boleh kedengaran terlalu ‘bandar’. Saya kena pandai bawa watak itu supaya nampak benar-benar berasal dari kampung,” katanya lagi.

Bekerjasama dengan ibu sendiri di set penggambaran memberikan pengalaman dan cabaran berbeza buat Daiyan yang sangat mementingkan aspek profesionalisme dalam kerjaya seninya.

Daiyan mengakui situasi berkenaan memberikan rasa gementar luar biasa berbanding membuat persembahan di khalayak ramai apabila terdapat emosi dalaman yang perlu dijaga.

“Rasa gementar itu bukan biasa-biasa kerana ia melibatkan banyak layer (lapisan emosi) yang perlu saya pilih dan tapis. Perkara itulah yang paling saya takuti sebenarnya kerana suasananya sangat lain.

“Bukan sebab Mummy pertama kali berlakon, tetapi ini lebih kepada interpretasi dan emosi dalaman kita sendiri.

“Cabarannya bagaimana saya mahu mengasingkan emosi itu agar tidak bercampur-aduk sehingga menjadi benda lain. Terutamanya apabila melibatkan satu babak emosi, memang mencabar tetapi selebihnya semua okay dan tiada masalah,” katanya lagi.

Sementara itu, Daiyan berkongsi dia mula membaca naskhah asal karya berkenaan selepas mendapat tahu dirinya dipilih untuk menerajui watak utama sebagai Anom.

“Saya dan adik-beradik memang membesar dengan bunyi mesin taip Mummy. Buku-buku juga berada di mana-mana sahaja kerana Mummy juga seorang guru, jadi kami memang membesar dengan dunia sastera.

“Apabila saya tahu yang saya akan mainkan watak Anom, saya minta Mummy sekiranya dia masih ada novel Anom Suraya yang ‘original’,” katanya.

Demi menghidupkan watak Anom, Daiyan memilih untuk menjadikan keperibadian dan nilai hidup ibunya sendiri sebagai rujukan utama.

“Saya memang tidak ada rujukan luar yang spesifik melainkan saya cuba meletakkan gambaran bagaimana ibu saya dahulu. Bukannya watak Anom ini adalah ibu saya sepenuhnya, cuma watak ini memiliki nilai-nilai seorang gadis kampung.

“Anom adalah seorang wanita yang sangat rendah hati. Bukannya mahu kata dia seorang yang tidak terbuka minda, tetapi jiwanya jenis yang penuh dengan rasa takut-takut untuk melakukan sesuatu perkara.

“Dia seorang yang beradab dan sopan santun yang tinggal di kampung serta menghormati orang tua. Jadi saya cuba terapkan nilai-nilai itu kerana karakter gadis kampung dan gadis bandar ini sangat berbeza,” kongsinya.

Di sebalik kesibukan jadual lakonan yang padat, Daiyan bersyukur perniagaan kafe yang diusahakan sejak lima bulan lalu kini berjalan lancar tanpa menjejaskan kerjaya seninya.

“Bagi saya, perniagaan ini tidak mengganggu masa saya ketika berada di set penggambaran kerana pekerja yang menguruskan kafe berkenaan.

“Perniagaan kafe ini sebenarnya saling melengkapi dalam hidup saya. Ia adalah sebuah perniagaan dan tempat yang sangat memudahkan hidup.

“Kalau saya mahu adakan sesi perjumpaan atau mesyuarat boleh dilakukan di sana, begitu juga jika mahu menghantar bunga pun di sana. Jadi, perniagaan kafe ini sangat membantu hidup saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top