MELAKA – Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan tiada penutupan perkhidmatan berlaku di Hospital Segamat meskipun hospital berkenaan berdepan peningkatan jumlah pesakit dari semasa ke semasa.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, situasi yang berlaku ditangani menerusi konsep Cluster Crisis Management bagi memastikan perkhidmatan kesihatan terus berjalan tanpa menjejaskan kebajikan pesakit.
Menurut beliau, pesakit yang sedang menerima rawatan di wad akan terus dirawat seperti biasa, manakala pesakit luar akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran jika perlu.
“Langkah itu bertujuan mengurangkan kesesakan serta memastikan perkhidmatan berjalan lancar. Itu cara kami menangani keadaan tersebut.
“Namun yang penting, tiada pemberhentian perkhidmatan dan tiada penutupan hospital. Perkhidmatan kesihatan tidak boleh dikompromi,” katanya pada Majlis Penutup Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia peringkat KKM di AEON Bandaraya Melaka, di sini pada Jumaat.
Turut hadir Exco Kesihatan, Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ngwe Her Sem serta Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly menafikan peningkatan pesakit itu susulan hospital berkenaan menjadi hospital rujukan bagi pesakit dari negeri jiran.
Beliau mengakui sesekali memang ada peningkatan pesakit, namun perkara itu akan diteliti menerusi konsep cluster crisis management.
Sementara itu, ditanya mengenai cadangan penambahan kakitangan bagi mengatasi isu berkenaan, beliau menjelaskan perkara itu juga ditangani melalui pendekatan sama.
“Dalam situasi krisis ini, apabila pesakit luar dirujuk ke fasiliti lain, bantuan dan sokongan tenaga kerja turut digerakkan.
“Mereka tidak datang ke hospital tersebut, sebaliknya merawat di fasiliti masing-masing seperti klinik kesihatan dan hospital lain. Itulah pendekatan yang kita gunakan,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan dakwaan Hospital Segamat akan ditutup mulai 1 Julai ini, seperti yang tular menerusi media sosial.
Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohtar Pungut@Ahmad berkata, hospital berkenaan masih beroperasi seperti biasa dan tiada sebarang penutupan seperti didakwa.
Beliau memaklumkan JKNJ turut mengambil maklum berhubung surat penangguhan bagi rujukan kes-kes Obstetrik dan Ginekologi (O&G) di hospital berkenaan yang turut tular.
Jelasnya, JKNJ sedang meneliti dan memuktamadkan pengaturan perkhidmatan di Jabatan O&G Hospital Segamat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan berterusan kepada masyarakat.



