MELAKA: Hospital Segamat di Johor tidak akan ditutup mulai 1 Julai ini seperti yang didakwa sesetengah pihak dan perkhidmatan kesihatan terus berjalan seperti biasa.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tiada sebarang penutupan perkhidmatan termasuk di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G), sebaliknya hanya sistem rujukan sementara akan dilaksanakan sekiranya berlaku tekanan kapasiti akibat peningkatan jumlah pesakit.
Menurut beliau, dalam situasi tertentu yang menyebabkan lonjakan kemasukan pesakit, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengaktifkan konsep pengurusan krisis mengikut kluster bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.
“Perkara yang perlu difahami ialah perkhidmatan tidak diputuskan. Pesakit yang sedang menerima rawatan sebagai pesakit dalam akan terus dirawat seperti biasa.
“Bagi pesakit luar pula, mereka mungkin dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran seperti klinik kesihatan atau hospital lain untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat KKM 2026 di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, penjagaan pesakit tidak boleh dikompromi dan KKM sentiasa memastikan akses kepada rawatan kesihatan terus tersedia kepada masyarakat.
Menurutnya, Hospital Segamat selama ini beroperasi seperti biasa dan mampu menangani keperluan pesakit di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat keadaan tertentu yang menyebabkan peningkatan mendadak jumlah pesakit sehingga memerlukan langkah pengurusan krisis dilaksanakan.
“Sesekali memang berlaku lonjakan pesakit atas pelbagai faktor. Apabila keadaan itu berlaku, kita akan mengaktifkan mekanisme pengurusan krisis secara berkelompok bagi mengimbangi beban perkhidmatan,” ujarnya. – UTUSAN




