redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: “Memang ada segelintir kata saya tak sepadan dengan isteri sebab saiz badannya.
“Tapi pada mata saya, isteri cantik, comel dan baik hati orangnya,” katanya Mohamad Fahmie Abdullah.
Mohamad Fahmie, 23, memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi kisahnya yang mendapat perhatian warganet kerana memilih wanita bertubuh comel, Nur Erina Balqis Junaidi, 20, sebagai teman hidupnya.
Meninjau ruangan komen, rata-rata warganet gembira melihat kebahagian dipamerkan pasangan itu dan mendoakan jodoh mereka berpanjangan hingga ke syurga.
Berkongsi kisahnya, Mohamad Fahmie dari Kampung Kesom, di sini berkata, dia berkenalan dengan isterinya pada Oktober 2023 menerusi siaran langsung di TikTok.
Bertitik tolak daripada situ, mereka mengenali hati budi masing-masing sebelum menjalin hubungan yang berakhir di jenjang pelamin selepas diijabkabulkan pada 14 Februari lalu.
“Niat awal kami memang nak berkawan kerana waktu itu pun, masing-masing solo dan mula menjalin cinta pada Oktober 2023.
“Pada Februari 2024, kami bertemu dan waktu berjumpa kali pertama itu, saya sudah jatuh hati dengan isteri.
“Sejak itu, kami jadi bertambah rapat dan bila terus terang dengan keluarga, mereka restu. Memandangkan kami pun suka sama suka jadi sepakat berkahwin untuk halalkan hubungan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Mohamad Fahmie, dia tidak meletakkan soal rupa sebagai kriteria dalam memilih pasangan kerana sedar dirinya pun biasa saja.
“Apa yang penting, ada keserasian, sayang dan terima satu sama lain serta dapat restu keluarga kedua belah pihak.
“Terpulang apa orang nak kata kerana itu hak mereka dan saya abaikan saja kata-kata negatif kerana yang melalui perkahwinan itu saya,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Nur Erina Balqis tidak menyangka Mohamad Fahmie sudi melamarnya kerana sedar ramai wanita jauh lebih baik daripadanya.
Bagaimanapun, Nur Erina Balqis menganggap perkahwinan dengan Mohamad Fahmie sebagai jodoh terbaik aturan Allah SWT buatnya.
“Mula macam tak percaya dan sampai sekarang rasa seperti bermimpi kerana bagi saya, suami ada rupa.
“Lama juga saya ambil masa nak buka hati menerimanya kerana bimbang dipermainkan. Saya pun memang ingat suami main-main saja pada awalnya tapi sangkaan saya meleset kerana dia serius dalam perhubungan.
“Saya terima suami sebab dia lelaki yang penyabar dan berani tegur kalau saya buat silap. Alhamdulillah, keluarga pun terima dan harap cukup saya seorang jadi teman hidupnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




