Dari pencipta kandungan ke dunia perfileman

Dari pencipta kandungan ke dunia perfileman

Sofyank merupakan antara nama yang semakin menyerlah dalam industri kreatif tempatan menerusi kandungan berasaskan visual efek (VFX) dan penceritaan sinematik. Sering bergerak bersama rakannya, Mshaffuan, kedua-dua mereka berjaya mencuri perhatian ramai dengan karya kreatif yang bukan sahaja menghiburkan, malah menampilkan kualiti produksi yang tinggi.
Walaupun bermula sebagai pencipta kandungan digital, minat mereka terhadap dunia perfileman tidak pernah pudar. Setiap projek yang dihasilkan dilihat sebagai langkah persediaan ke arah impian yang lebih besar, iaitu menghasilkan sebuah filem yang mampu memberi impak kepada industri perfileman Malaysia.

Apakah cabaran terbesar yang anda hadapi sebagai pengkarya?

Kami membesar sebagai pencipta kandungan (content creator), bukan daripada latar belakang pembikinan filem. Saya mengenali Mshaffuan hampir 10 tahun dan sejak awal lagi kami sering berkata, ‘Suatu hari nanti kita mahu menghasilkan filem’. Bagi kami, apa sahaja teaser dan trailer yang dihasilkan sekarang adalah medan latihan ke arah impian itu. Cabaran utama adalah untuk mencapai tahap yang membuatkan kami yakin kami sudah bersedia menghasilkan sebuah filem penuh.
Dari segi teknikal, kami tidak terlalu bimbang kerana mendapat sokongan dan bimbingan daripada Nicholas yang banyak membantu dari segi pengalaman dan pengetahuan produksi. Fokus utama kami adalah aspek penceritaan serta bagaimana menyampaikan cerita yang berkesan dalam tempoh singkat.

Anda dilihat sebagai antara pelapis baharu dalam industri filem. Apa pandangan anda?

Alhamdulillah, saya bersyukur melihat perkembangan industri filem tempatan ketika ini. Kemunculan filem seperti Mat Kilau, MALBATT, Blood Brothers dan beberapa karya lain memberikan momentum yang sangat positif kepada industri. Sudah tentu industri memerlukan pelapis baharu. Kami berharap dapat menjadi sebahagian daripadanya, atau sekurang-kurangnya mendapat inspirasi daripada kejayaan filem-filem tersebut untuk menghasilkan karya yang hebat suatu hari nanti.
Kami juga mahu membantu meletakkan penanda aras baharu supaya dunia luar melihat bahawa Malaysia mempunyai kemampuan tersendiri. Tidak semestinya perlu dibandingkan dengan Hollywood; kita boleh melihat negara serantau seperti Thailand dan Indonesia sebagai contoh untuk memahami kedudukan yang patut dicapai oleh industri filem Malaysia.

Apa kekangan utama yang menghalang industri filem Malaysia daripada bersaing di peringkat antarabangsa? Adakah bakat, teknologi atau ekosistem?

Teknologi berkait rapat dengan bajet. Untuk menghasilkan filem berskala besar yang memerlukan VFX atau CGI yang kompleks, kosnya sangat tinggi. Jika suatu hari nanti kami berpeluang menghasilkan filem sendiri, kami akan cuba imbangi semua aspek itu. Namun, keutamaan tetap diberikan kepada penceritaan. Kami mahu memastikan cerita yang disampaikan benar-benar kuat terlebih dahulu. Selepas itu, teknologi dan ekosistem akan menjadi faktor tambahan yang meningkatkan kualiti filem tersebut. Setakat pemerhatian saya yang masih baharu dalam dunia perfileman, teknologi antara cabaran terbesar.

Adakah impian utama anda memang untuk menghasilkan filem?

Ya, itu memang impian kami sejak awal lagi. Jika ada peluang untuk bekerjasama dengan pengarah lain, kami terbuka. Namun buat masa ini, saya dan Mshaffuan mempunyai impian untuk menjadi pengarah bersama bagi sebuah filem. Kandungan yang kami hasilkan mendapat sambutan yang baik. Namun filem mempunyai impak berbeza. Penonton meluangkan masa sehingga dua jam bersama karya itu.Sebuah filem juga mempunyai nilai jangka panjang. Mungkin filem yang ditayangkan tahun depan masih diingati 10 tahun kemudian. Itulah menjadikan filem satu legasi kepada pengkarya.

Sebelum ini, anda juga pernah ke Hollywood dan bertemu pengkarya di sana. Apakah yang sempat dipelajari?

Ketika berada di Hollywood, saya lebih banyak berjumpa pelakon berbanding pasukan produksi. Namun melalui perkongsian daripada penggiat VFX di sana, saya mendapat tahu filem yang mempunyai CGI berskala besar biasanya melibatkan ribuan editor dan artis visual.Pada masa ini, perkara seperti itu masih belum mudah dicapai di Malaysia. Selain itu, terdapat juga persoalan sama ada penonton tempatan benar-benar mahukan filem yang sarat CGI. Sebab itu, kami masih mengkaji kehendak pasaran dan minat audiens Malaysia sebelum menghasilkan sesuatu karya berskala besar.

Ekspektasi terhadap anda tentu tinggi.

Ya, ia satu tekanan, tetapi pada masa sama menjadi pembakar semangat. Apabila orang menantikan karya kami, itu menunjukkan mereka menghargai kandungan yang kami hasilkan sebelum ini. Jika suatu hari kami berjaya menghasilkan filem, ia hadiah kepada semua yang sentiasa menyokong kami. Kami berharap filem itu dapat menjadi penanda aras baharu dalam perjalanan kerjaya kami dan diterima baik oleh penonton.

Scroll to Top