DBP nafi dakwaan berkaitan buku dibakar

DBP nafi dakwaan berkaitan buku dibakar

KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini menafikan kenyataan bertajuk Iban’s literature and book were burned by Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi hantaran dalam Facebook Sarawak Public Feedback.

DBP memberitahu kenyataan itu tidak berasas, tidak benar dan boleh menyebabkan kekeliruan dan salah faham serta memberikan tanggapan negatif kepada DBP.

Menurut kenyataan DBP hari ini, DBP Cawangan Sarawak mengambil alih peranan Borneo Literature Bureau (BLB) pada 1977, dan semua bahan termasuk buku-buku yang diterima berjumlah 1,077 judul masih tersimpan.

“Ia merangkumi 444 koleksi (BLB) dan 633 (Koleksi Sarawak, Brunei dan Sabah) masih tersimpan dan boleh dijadikan rujukan oleh penyelidik, penulis dan orang awam yang berhasrat ke Koleksi Borneo, DBP Cawangan Sarawak,” menurut kenyataan itu.

DBP memaklumkan sebagai agensi yang diberikan amanah untuk menjaga dan memartabatkan bahasa dan persuratan, pihaknya melalui penyelidikan dan pendokumentasian bahasa-bahasa sukuan dan cerita rakyat peribumi di Sarawak telah menerbitkan Kamus Bahasa Sukuan dan Daftar Kata.

Kamus itu ialah Kamus Bahasa Melanau Mukah – Melayu Dewan, Kamus Bahasa Iban – Melayu Dewan, Kamus Bahasa Vaie – Melayu Dewan, dan Kamus Melayu Sarawak – Melayu Dewan.

“Bagi daftar kata, ia merangkumi Daftar Kata Bahasa Vaie – Bahasa Melayu, Daftar Kata Bahasa Melayu – Bahasa Kedayan, Daftar Kata Bahasa Melayu – Bahasa Melanau Dalat, Daftar Kata Bahasa Melayu – Bahasa Melanau Seduan, Daftar Kata Bahasa Melayu – Bahasa Kenyah Cebup, Daftar Kata Bahasa Melayu – Bahasa Tetaw, Daftar Kata Bahasa Bakong – Bahasa Melayu, dan Daftar Kata Bahasa Narum – Bahasa Melayu,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, DBP turut menerbitkan buku sastera rakyat sebanyak 44 judul antaranya Antologi cerita Rakyat Sarawak Telichu dan TelichaiAvun Hagang Batang KayoKerena Dayang PeteraNariak dan Puteri KayanganBuluh PerinduKumpulan Cerita Rakyat Sarawak Si Abu-AbuCerita Rakyat Iban dan Asap Kayu Lukai.

DBP juga agensi bertanggungjawab menerbitkan Buku Teks Bahasa Iban bersama-sama Kementerian Pendidikan (KPM) untuk digunakan dan telah diajar secara rasmi di sekolah-sekolah di Sarawak.

“DBP Cawangan Sarawak akan terus menjalankan penyelidikan, pemuliharaan dan penerbitan dalam memartabatkan bahasa sukuan, sastera rakyat dan keunikan yang terdapat dalam masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.

“Hasil dapatan ini dibentangkan setiap tahun dalam Seminar Kearifan Tempatan Sarawak yang melibatkan penyertaan pengkaji, penggiat sastera, ahli akademik dan tokoh masyarakat di Bumi Kenyalang,” menurut kenyataan itu.

DBP berharap kenyataan dalam Facebook itu tidak akan menyekat usaha DBP dalam melestarikan dan memulihara khazanah, keunikan dan kebudayaan masyarakat Sarawak melalui pendokumentasian dan penerbitan buku yang akan menjadi tatapan generasi pada masa hadapan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Scroll to Top