Denz lakar kemenangan solo di Giro, Del Toro kekal pendahulu

Denz lakar kemenangan solo di Giro, Del Toro kekal pendahulu

Cesano Maderno: Nico Denz mencatat kemenangan bergaya di peringkat ke-18 Giro d’Italia selepas pelumba Jerman itu melakukan serangan solo pada penghujung saingan sejauh 144 kilometer (km) dari Morbegno ke Cesano Maderno.

Dalam perlumbaan terpendek edisi tahun ini, pelumba pasukan Red Bull–Bora–Hansgrohe itu memisahkan diri daripada kumpulan pendahulu yang terdiri daripada 11 pelumba dengan membuat serangan 11km sebelum garisan penamat.

Denz, 31, mempamerkan kayuhan konsisten dan mengekalkan kelebihan 32 saat berbaki lima kilometer sebelum menamatkan saingan dengan kelebihan hampir seminit ke atas kumpulan pengejar sekali gus merangkul kemenangan peringkat ketiga dalam kariernya di Giro d’Italia.

Kemenangan itu juga menjadi penawar buat pasukannya selepas harapan utama mereka, Primoz Roglic, menarik diri daripada perlumbaan susulan kemalangan dalam cuaca buruk pada peringkat ke-16, Selasa lalu.

Pelumba Team Polti, Mirco Maestri menduduki tempat kedua selepas menewaskan Edward Planckaert (Alpecin-Deceuninck) dalam perebutan tempat ketiga.

Sementara itu, Isaac del Toro terus mempertahankan jersi merah jambu selaku pendahulu keseluruhan, mengekalkan kedudukan dalam kelompok utama tanpa sebarang masalah sepanjang perlumbaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top