Munich: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps enggan menuding jari kepada pemain bintangnya Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann selepas pasukannya tersingkir dari di separuh akhir Euro 2024 kepada Sepanyol awal pagi tadi.
“Tanggungjawab itu adalah milik saya,” kata Deschamps kepada wartawan ketika ditanya mengenai aksi hambar pasukannya pada kejohanan itu membabitkan kapten dan penolong kapten Perancis.
“Menentang pasukan Sepanyol yang mempunyai kualiti yang tinggi, anda perlu berada pada tahap terbaik anda.
“Saya bukan mencari alasan, tetapi apabila kami memulakan persiapan untuk kejohanan kami kehilangna Aurelien Tchouameni, Adrien Rabiot cedera, dan (Dayot) Upamecano tidak berada dalam keadaan terbaik.
“Kami menangani masalah yang datang dan cuba menjadi sebaik mungkin walaupun berdepan masalah tetapi ia langkah yang agak terlalu tinggi buat kami walaupun kami bertuah menjaringkan gol awal,” tambahnya selepas Perancis tewas 1-2 dalam pertembungan empat terakhir di Munich walaupun mendahului menerusi gol pembukaan awal Randal Kolo Muani.
Gol Kolo Muani adalah yang pertama dijaringkan pemain Perancis dalam aksi terbuka kejohanan kali ini, namun Sepanyol bangkit menerusi gol Lamine Yamal sebelum Dani Olmo meledak gol kemenangan.
“Sepanyol mengawal permainan dengan sangat baik. Kami tidak menekan mereka sehingga tamat perlawanan,” katanya.
“Saya tidak boleh menegur pemain kerana tidak memberikan segala-galanya. Mereka tidak memberi 100 peratus dalam kejohanan ini atas sebab yang berbeza,” tambah Deschamps selepas Perancis tewas pada separuh akhir kejohanan utama buat kali pertama sejak Euro 96.
Deschamps memuji Olivier Giroud selepas pemain veteran berusia 37 tahun itu yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis membuat penampilan terakhir buatnya negaranya apabila masuk daripada bangku simpanan.
Giroud membuat penampilan pertama di bawah kendalian Laurent Blanc selain bermain dalam aksi pertama Deschamps, perlawanan persahabatan menentang Uruguay pada Ogos 2012.
“Dia juga kecewa seperti semua pemain lain.
“Dia berada di sana ketika permulaan, dan dia adalah yang terakhir sejak perlawanan pertama saya berdepan Uruguay di Le Havre.
“Dia melalui sebahagian tempoh yang sukar tetapi akhirnya menjadi penjaring terbanyak kami. Dia adalah contoh pemain mampu bertahan lama dan tahap profesionalisme.
“Dia tidak banyak bermain dalam Euro kali ini tetapi masih di belakang pasukan. Saya mengucapkan selamat maju jaya dan terima kasih kepadanya,” kata Deschamps.
© New Straits Times Press (M) Bhd




