Deschamps miliki sentuhan juara dalam mengemudi pasukan Perancis

Deschamps miliki sentuhan juara dalam mengemudi pasukan Perancis

BERKALI-kali, jurulatih Perancis, Didier Deschamps diminta menjelaskan rahsia di sebalik pasukan hebatnya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Namun, emosinya sahaja sudah jelas mencerminkan perkara paling penting bagi pengendali berusia 57 tahun itu: hubungan sesama manusia dan perpaduan.

“Saya bangga memiliki pasukan ini,” kata Deschamps menjelang perlawanan separuh akhir tumpuan menentang Sepanyol pada Selasa.

Jurulatih itu sengaja merangkumi semua orang, daripada pemain hingga pembantu dan kakitangan sokongan, kerana “semua orang berjuang demi kumpulan.”

Cara Deschamps mengemudi skuadnya yang dibarisi pemain bintang sepanjang kejohanan ini meraih penghormatan tinggi di seluruh dunia.

Beliau menjadi teladan kepada pemain dengan memperlihatkan sendiri perkara yang dituntut daripada mereka, iaitu komitmen dan disiplin, selain semangat serta keakraban.

Cara beliau tunduk menghormati bintang penyerang Kylian Mbappe selepas aksi memukaunya pada pusingan 32 terakhir menentang Sweden, menjelirkan lidah tanda lega selepas kemenangan sengit pada pusingan 16 terakhir menentang Paraguay dan memeluk erat pemain sayap Desire Doue selepas kemenangan suku akhir menentang Maghribi adalah imej yang meninggalkan kesan mendalam, bukan sahaja kepada peminat Perancis.

“Beliau tahu bagaimana memimpin pasukan,” kata bekas pemain antarabangsa Jerman Mats Hummels kepada MagentaTV.

Jurulatih terkemuka, Jurgen Klopp turut memuji komunikasi Deschamps dengan pemainnya, sambil menjadikan pemain sayap Bayern Munich Michael Olise sebagai contoh.

“Seseorang pasti telah bercakap dengan para pemain ini untuk membuatkan mereka bermain seperti ini. Mereka tidak melakukannya sendiri,” kata Klopp, merujuk kepada kerja berpasukan yang luar biasa dalam kalangan pemain serangan Perancis dan kesanggupan mereka untuk turun membantu pertahanan, sesuatu yang tidak sentiasa mereka tunjukkan di peringkat kelab.

Beliau merujuk kepada kerjasama cemerlang dalam kalangan pemain penyerang Perancis serta kesanggupan mereka turun membantu pertahanan, sesuatu yang tidak selalu ditunjukkan ketika beraksi di peringkat kelab.

Deschamps menjadi ketua jurulatih Perancis sejak 2012. Selepas Piala Dunia ini, beliau akan berundur dan dilaporkan bakal digantikan Zinedine Zidane, kemungkinan dengan gelaran Piala Dunia ketiga dalam koleksinya.

Deschamps mengetuai Perancis sebagai kapten ketika menjuarai edisi 1998, sebelum mengulangi kejayaan itu sebagai jurulatih pada 2018.

Hanya Franz Beckenbauer dan Mario Zagallo turut pernah memenangi Piala Dunia sebagai pemain dan jurulatih.

Vittorio Pozzo kekal sebagai satu-satunya jurulatih yang memenangi Piala Dunia dua kali, bersama Itali pada 1934 dan 1938.

Statistik itu sahaja sudah cukup menunjukkan kelompok elit yang dihuni Deschamps.

Pada separuh akhir, yang juga penampilan ketiga berturut-turut buat Les Bleus, beliau bakal mencipta satu lagi rekod.

Pertemuan menentang Sepanyol yang dianggap ramai sebagai final sebenar sebelum perlawanan akhir, akan menjadi aksi ke-26 Deschamps sebagai jurulatih di pentas Piala Dunia.

Beliau kini berkongsi rekod dengan bekas jurulatih Jerman Barat Helmut Schon yang masing-masing mencatat 25 perlawanan.

Mulai Selasa, ketika Perancis meraikan Hari Bastille, rekod itu akan menjadi miliknya.

Perancis sememangnya tidak pernah ketandusan pemain berbakat besar.

Namun, pasukan ini langsung tidak menyerupai skuad yang bertelagah dengan jurulatih ketika itu, Raymond Domenech, pada Piala Dunia 2010 sehingga menjadi sasaran kritikan hebat.

Les Bleus yang pernah dianggap sukar dikendalikan kini melalui perubahan luar biasa sepanjang era Deschamps.

Mereka menjadi contoh pemain profesional, dipilih dengan teliti oleh jurulatih dan disatukan oleh satu misi bersama.

Deschamps sebelum ini berkata pemain yang menyarung jersi Perancis mempunyai tanggungjawab kepada penyokong dan rakyat di tanah air.

Kapten Mbappe pula, menerusi sikapnya di dalam dan luar padang, dianggap sebagai contoh teladan sebenar.

Mbappe memperlihatkan segala-galanya yang mahu dilihat jurulatihnya dalam kejohanan ini, iaitu keinginan tinggi untuk menjaringkan gol serta mendahulukan kepentingan pasukan.

Selepas ibu Deschamps meninggal dunia ketika peringkat kumpulan, penyerang Real Madrid itu menunjukkan rasa simpati yang mendalam terhadap jurulatihnya, termasuk ketika meraikan jaringan.

Malah sebelum Perancis membuka kempen Piala Dunia di Amerika Utara, Mbappe telah menyatakan hasrat untuk menghadiahkan Deschamps “Piala Dunia terbaik sepanjang zaman” sebagai hadiah perpisahan.

Jika Perancis menewaskan juara Eropah Sepanyol sebelum muncul juara di East Rutherford, hasrat itu pasti menjadi kenyataan. – Bernama/dpa

Scroll to Top