rama@hmetro.com.my
Tugasan biasa dalam sekelip mata bertukar menjadi tugasan luar biasa buat seorang jurugambar The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) pada 28 Jun 2006 – kira-kira 20 tahun.
Apabila Shahrul M Zain menerima arahan tugasan itu pada pagi Rabu berkenaan, tidak terlintas di benaknya gambar yang bakal dirakam pada hari berkenaan bakal menghiasi muka depan akhbar kumpulan NSTP.
“Pagi itu, Ketua Biro Fahmi Omar mengarahkan saya segera bergerak ke Penjara Simpang Renggam. Berdasarkan maklumat diperoleh, ada tahanan akan dibebaskan. Saya diminta merakam pembebasan berkenaan,” katanya yang kini berperanan sebagai jurugambar kanan di ibu pejabat NSTP di Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur.
Menurut Shahrul pagi itu dia bertolak awal dari Pejabat Cawangan NSTP Johor di Bandar Baru Uda di Johor Bahru menuju ke Penjara Simpang Renggam yang jaraknya sejauh 70 kilometer.
“Ketepatan masa amat mustahak buat wartawan dan jurugambar. Jika lewat, ada kemungkinan kita akan terlepas detik pemberitaan yang penting. Apatah lagi, buat jurugambar yang perlu sentiasa bersiap sedia untuk merakam momen penting.
“Jika terlepas, tiada ulangan untuk dirakam dan disejarahkan,” tambahnya.
Sejam memandu kereta, Shahrul tiba di hadapan Penjara Simpang Renggam pada jam 8 pagi.
“Setiba di sana saya bertemu dengan wartawan Berita Harian, Mohd Roji Abdullah yang berpusat di Batu Pahat. Mengikut tugasan, saya akan merakam gambar dan beliau akan menulis berita untuk Harian Metro dan juga Berita Harian.
“Ketika saya sampai suasana di luar penjara masih tenang lagi. Tak ramai orang. Hanya wartawan dan jurugambar beberapa media berlegar dengan mata helang mengamati setiap pergerakan keluar masuk dari penjara,” katanya.
Shahrul sendiri sudah bersiap sedia dengan kamera jenis Canon model 1D yang top ketika itu yang dilengkapi dengan filem Fuji sebanyak 36 roll.
Apabila matahari mula memanjat, makin ramai mula berkerumun di hadapan penjara.
“Ramai waris tahanan yang dijadualkan dibebaskan pada hari itu mula berkumpul. Ada antara mereka siap sedia menunggu dalam kenderaan yang enjinnya dibiarkan hidup. Dua tiga peguam juga mundar-mandir sambil bercakap dengan waris tahanan berkenaan,” katanya.
Suasana semakin hingar-bingar menjelang tengah hari namun tiada apa yang berlaku. Namun, kehadiran anggota polis yang berpakaian preman memberi keyakinan ada sesuatu akan terjadi.
“Perut dah mula berkeroncong meminta diisi namun tiada wartawan atau jurugambar sanggup meninggal lapangan. Risau terlepas berita,” katanya.
Namun, kata Shahrul, mereka berpakat bergilir-gilir menunaikan solat dengan janji berkongsi rakaman jika sesuatu berlaku.
“Kami hanya teguk minuman yang dibungkus di gerai berdekatan,” katanya.
Zuhur beransur, disusuli dengan Asar namun tiada apa juga yang berlaku.
Berkampung di hadapan penjara sejak pagi, membuatkan pemberita dan jurugambar mula kepenatan. Minda juga lesu kerana tiada apa yang berlaku. Ibu pejabat pula mula menelefon bertanyakan perkembangan yang berlaku.
Ketika hampir putus asa, pada kira-kira jam 6.15 petang, sebuah bas Jabatan Penjara mula bergerak keluar dari pintu masuk utama penjara.
Menyedari pergerakan kenderaan itu, anggota media mula berawas. Detik yang dinanti sejak awal pagi, kini terhidang di hadapan mata. Cuma semua tertanya-tanya, apa yang akan berlaku.
“Sebaik sahaja bas itu melepasi pintu utama, dalam sedetik, suasana bertukar kalut. Lebih 20 anggota polis berpakaian preman mula mendekati bas itu manakala tahanan dalam bas pula melompat keluar melalui tingkap bas untuk melarikan diri.
“Waris tahanan dan peguam pula cuba menghalang anggota polis terbabit daripada menahan tahanan terbabit. Memang kecoh dengan jeritan dan pekik lolong tahanan dan anggota keluarga mereka,” kata Shahrul.
Dalam keributan itu, seorang tahanan berjaya melarikan diri dengan menaiki kenderaan waris yang sedia menunggu di hadapan Penjara Simpang Renggam. Seorang daripada tahanan terbabit turut cedera akibat bergelut.
“Suasana hanya kembali reda selepas lebih 10 minit. Ada tahanan berjaya ditahan manakala ada yang dapat meloloskan diri. Untuk jurugambar macam kami, walaupun cemas, kamera tetap di tangan untuk memetik gambar,” katanya.
Semua 15 tahanan berusia 24 hingga 45 tahun terbabit ditahan mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat 1969 sejak dua hingga enam tahun kerana disyaki terbabit dalam jenayah kekerasan yang boleh mendatangkan kemudaratan dan ketenteraman awam.
Namun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan semua tahanan terbabit dibebaskan serta-merta pada 22 Jun 2006 dan mereka sepatutnya dibebaskan pada jam 11 pagi 28 Jun 2006.
Penahanan semula tahanan yang dibebaskan itu dibuat mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat 1969 yang membolehkan mereka ditahan selama 60 hari sementara menunggu rayuan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Daripada 15 tahanan terbabit lima berjaya melarikan diri.
Buat Shahrul, peristiwa itu menjadi peringatan bahawa dunia kewartawanan bukan sekadar mengejar berita, tetapi menuntut kesabaran, ketahanan mental dan keberanian merakam sejarah dalam keadaan yang tidak diduga.
Berjam-jam menunggu tanpa kepastian akhirnya dibayar dengan rakaman yang bukan sahaja menghiasi muka depan akhbar NSTP, malah menjadi sebahagian daripada catatan penting landskap jenayah dan penguatkuasaan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




