Warga asing bawa kenderaan: Pemilik turut diburu

Warga asing bawa kenderaan: Pemilik turut diburu

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan bukan saja terhadap warga asing yang menunggang motosikal tanpa lesen, tetapi pemilik kenderaan.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, ketika ini, kadar kemalangan masih lagi pada tahap tinggi akibat kecuaian, kelalaian dan serta sikap ambil lewa oleh pengguna jalan raya.

Beliau berkata, dengan membenarkan warga asing yang tidak kompeten untuk memandu dalam negara ini, ia meningkatkan lagi risiko kemalangan di jalan raya.

“Operasi membanteras warga asing daripada memandu sedang giat dilaksanakan di peringkat daerah Kota Setar dan negeri ini.

“Bagaimanapun, usaha ini tidak akan berjaya selagi warga negara sendiri yang memberi peluang dan ruang untuk warga negara asing memiliki, menyewa, memberi guna kenderaan di atas jalan raya.

“Sejak 16 Jun lalu, sebanyak 1,436 kenderaan sudah diperiksa dan 111 kenderaan sudah diambil tindakan termasuklah di daerah Kota Setar manakala sebanyak 28 kenderaan yang dinaiki pemandu warga asing sudah diambil tindakan, ” katanya, semalam.

Stien berkata, jumlah itu membabitkan kes di negeri ini termasuk di daerah Kota Setar dan sebanyak 47 kenderaan pemandu warga asing sudah disita.

Beliau berkata, kebanyakan mereka yang diperiksa adalah lelaki berusia dalam lingkungan 30an hingga 50- an.

“Tindakan kami adalah menyita kenderaan yang dipandu serta mengeluarkan saman terhadap pemandu dan pemilik kenderaan.

“Sejak pelaksanaan OPS PeWa, tindakan penguat kuasaan terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan pemandu warga asing memandu kenderaan mereka telah diperketat dan dilaksanakan dengan lebih tegas.

“Saman yang dikeluarkan terhadap pemandu dan pemilik kenderaan tidak boleh diselesaikan secara kompaun di JPJ, sebaliknya hendaklah diselesaikan melalui prosiding di mahkamah, ” katanya.

Stien berkata, antara kesalahan yang dilakukan pemandu warga asing ini adalah memandu kenderaan tanpa lesen yang sah, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada insurans, kenderaan tidak diselenggara dengan baik, ubah suai kenderaan, tidak memakai topi keledar dan mengabaikan isyarat lalu lintas.

Beliau berkata, risiko kemalangan meningkat pemandu yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah tidak mempunyai kompetensi serta kemahiran yang mencukupi untuk mengendalikan kenderaan dengan selamat di jalan raya, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.

“Ia boleh menjejaskan penguatkuasaan oleh pihak tertentu sekiranya kesalahan ini dibiarkan.

“Tindakan penguatkuasaan pula akan dilihat tidak tegas dan boleh mewujudkan persepsi pemanduan tanpa lesen adalah perkara biasa.

“Ia boleh mendorong lebih ramai individu memandu kenderaan tanpa lesen yang sah, ” kata Stien.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top