am@hmetro.com.my
Hulu Selangor: Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang di daerah ini sejak semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan Nurul Aishah Farhana Azni, 17, jam 12.42 tengah hari, hari ini.
Beliau berkata, bapa remaja perempuan itu membuat laporan di Balai Polis Batang Kali.
“Berdasarkan siasatan, Nurul Aishah Farhana pernah menghilangkan diri pada Januari lalu namun pulang dalam tempoh 24 jam.
“Lokasi terakhir remaja perempuan ini adalah di sebuah kedai makan di Bandar Utama Batang Kali jam 9.30 malam semalam,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mohd Asri berkata, ketika dilihat kali terakhir Nurul Aishah Farhana memakai tudung berwarna hitam, kemeja T kosong biru gelap lengan panjang, seluar hitam dan memakai sandal coklat cerah.
Katanya, fizikalnya berkulit cerah, tidak memakai cermin mata, berketinggian antara 150 hingga 155 sentimeter (cm) dan berat badan sekitar 50 hingga 55 kilogram (kg).
“Polis menyeru orang ramai yang menjumpai atau mempunyai maklumat kedudukan remaja perempuan ini supaya terus menghubungi mana-mana balai polis berhampiran, Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Muhammad Saiful Abdul Rahman (03-60641222) atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor (03-60641223),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
