MAKKAH – Dalam lautan jutaan manusia yang semuanya berpakaian ihram putih, setiap langkah mengelilingi Kaabah membawa cerita yang tidak selalu mampu dirakam oleh lensa kamera atau dicatat melalui angka semata-mata.
Ada yang datang dengan simpanan kecil sejak usia muda, ada yang menunggu puluhan tahun dan ada juga yang tiba dengan tubuh yang semakin lemah, namun hati tetap teguh menyahut panggilan untuk menjadi tetamu ALLAH SWT. Di sebalik semua itu, musim haji di Tanah Suci bukan sekadar ibadah, tetapi himpunan besar kisah pengorbanan manusia yang datang daripada pelbagai latar belakang kehidupan.
Sepanjang berada di Makkah dan Madinah, penulis menyaksikan bagaimana setiap fasa perjalanan haji membuka sisi kemanusiaan yang jarang dapat digambarkan sepenuhnya hanya melalui angka dan laporan harian.

Di hadapan Kaabah, tersingkap pelbagai kisah pengorbanan, kesabaran dan harapan yang dibawa setiap jemaah haji.
Di Arafah, lautan manusia berdiri dalam doa yang sama, namun dengan harapan yang berbeza-beza. Ada yang menangis dalam diam, ada yang duduk keletihan dan ada yang hanya mampu menadah tangan sambil menyerahkan seluruh rasa kepada ALLAH SWT. Pada saat itu, semua status dunia seakan-akan hilang, yang tinggal hanyalah seorang hamba dengan Tuhannya.
Di khemah Masyair, petugas Tabung Haji berkejar-kejar dengan masa bagi memastikan ribuan jemaah berada dalam keadaan selamat dan teratur. Di sebalik wajah yang keletihan, masih tersimpan kesabaran luar biasa untuk membantu jemaah warga emas, memimpin tangan yang longlai dan menenangkan mereka yang keliru arah.

Di sebalik tugasan liputan haji, penulis tidak melepaskan peluang mengimarahkan ibadah di hadapan Kaabah.
Di dapur operasi pula, ribuan hidangan disediakan setiap hari. Setiap bungkusan makanan yang sampai ke tangan jemaah bukan sekadar bekalan, tetapi hasil kerja berlapis yang memerlukan koordinasi rapi daripada proses penyediaan, pembungkusan hingga penghantaran tanpa henti demi memastikan ibadah dapat diteruskan dengan selesa.
Penulis juga melihat bagaimana teknologi, kesihatan dan sistem pengurusan haji digerakkan serentak bagi memastikan kelancaran ibadah. Di klinik sementara, petugas kesihatan tidak mengenal waktu dalam merawat jemaah yang keletihan, mengalami dehidrasi atau sekadar memerlukan rehat seketika.
Namun, di sebalik semua kemudahan itu, yang paling meninggalkan kesan ialah hubungan sesama manusia. Seorang jemaah memimpin tangan jemaah lain tanpa mengenali siapa mereka. Ada yang berkongsi air, ada yang memberikan tempat duduk dan ada yang sekadar tersenyum memberikan kekuatan dalam kesesakan. Di Tanah Suci, sifat ihsan terserlah tanpa perlu dipaksa.
Musim haji ini juga memperlihatkan keluarga yang menunaikan ibadah bersama-sama, sama ada suami isteri, ibu bapa dan anak-anak, mahupun adik-beradik yang akhirnya berkongsi satu perjalanan yang sama. Setiap langkah mereka menjadi saksi bahawa doa yang panjang akhirnya dijawab dengan jemputan ke rumah ALLAH SWT.
Penulis merasakan ada tanggungjawab emosi yang tidak boleh diabaikan. Catatan ini bukan sekadar laporan tugasan, tetapi juga penghargaan yang lahir daripada hati yang diberi peluang menyaksikan perjalanan suci ini dari dekat.
Penulis ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Sinar Harian atas kepercayaan dan ruang yang telah diberikan, bukan sahaja untuk berada di lapangan dan merasai sendiri denyut sebenar suasana musim haji serta berkongsi kisah-kisah manusia yang begitu dekat dengan jiwa, malah kerana peluang ini menjadi satu rezeki yang tidak pernah terlintas dalam hidup penulis.

Di hadapan Kaabah, tersingkap pelbagai kisah pengorbanan, kesabaran dan harapan yang dibawa setiap jemaah haji.
Secara peribadi, dalam keadaan tanggungan kewangan yang lebih tertumpu kepada keperluan dan komitmen kehidupan harian, penulis tidak pernah benar-benar membayangkan mampu sampai ke Makkah untuk menunaikan ibadah ini.
Namun, melalui amanah tugas dan kepercayaan yang diberikan, ALLAH SWT membuka jalan yang tidak disangka-sangka, menjadikan perjalanan ini bukan sahaja sebuah tugasan kewartawanan, tetapi juga satu anugerah yang amat bermakna dalam hidup penulis.
Tidak dilupakan, penghargaan yang tidak terhingga kepada Tabung Haji atas peluang yang diberikan untuk penulis mengikuti perjalanan ini dari awal hingga akhir, sekali gus menyaksikan sendiri dedikasi petugas serta pengurusan operasi yang begitu tersusun di Tanah Suci.

Di sebalik ihram putih yang kelihatan seragam, setiap jemaah membawa kisah pengorbanan, doa dan harapan yang berbeza.
Menutup tirai musim haji ini, penulis menyedari bahawa di sebalik ribuan laporan, angka jemaah dan statistik operasi, ada sesuatu yang lebih besar daripada itu semua, iaitu manusia dengan segala kelemahan, harapan dan keikhlasannya.
Dan di Makkah inilah, semua kisah itu bertemu pada satu noktah yang sama, sebuah perjalanan pulang yang bukan hanya membawa tubuh, tetapi turut membawa jiwa yang telah disentuh oleh makna sabar, reda dan pengorbanan.



