Diego Maradona meninggal dunia akibat serangan jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Buenos Aires: Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona meninggal dunia pada usia 60 tahun, menurut jurucakap keluarganya.

Maradona yang merupakan antara pemain terbaik sepanjang zaman dan juga bekas kapten Argentina meninggal dunia akibat serangan jantung.

Untuk pengetahuan, Maradona baru sahaja menjalani pembedahan otak pada awal bulan ini. Kronologinya adalah apabila mendiang dilaporkan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan perubatan pada 30 Oktober lalu, namun kemudian telah diumumkan menjalani satu pembedahan di bahagian kepala. Maradona dibenarkan pulang pada 12 November lalu.

Beberapa jam sebelum berita kematian Maradona, media Argentina melaporkan bahawa mendiang mengalami masalah kesihatan yang serius dan dirawat oleh doktor persendirian di rumahnya di utara Buenos Aires.

Presiden Argentina, Alberto Fernandez dengan serta merta mengumumkan tempoh tiga hari berkabung buat negara itu.

Sebagai sejarah, Maradona pernah menjulang Piala Dunia pada tahun 1986 sebagai kapten di Mexico bersama skuad kebangsaan Argentina.

Berita ini sememangnya memberi kejutan dan perhatian luas dalam dunia bola sepak apabila beberapa legenda dan pemain bola sepak terkenal memberi penghormatan terakhir buat mendiang menerusi media sosial.

“Berita sedih hari ini. Saya kehilangan rakan baik dan dunia kehilangan legenda”, kata Pele di Instagram bersama lampiran gambar Maradona ketika merangkul trofi Piala Dunia 1986.

“Ia hari yang sangat menyedihkan buat semua rakyat Argentina dan bola sepak. Dia meninggalkan kita tetapi dia tidak pergi kerana dia adalah abadi”, kata Lionel Messi di media sosial bersama gambarnya dan Maradona.

Akmal Hakim
Sports Desk