am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Sebenarnya video cari isteri dan hantaran wang sebanyak itu sekadar gurauan bagi memperkenalkan perniagaan emas saya. Kalau ada yang terasa atau salah faham, saya minta maaf dari hati.”
Begitu kata selebriti media sosial, Mohd Khairul Nizam Wahiddin atau lebih dikenali sebagai Abiejam yang mempelawa wanita menjadi isterinya dengan tawaran wang hantaran RM1 juta menerusi hantaran video, baru-baru ini.
Abiejam yang juga abang kepada pempengaruh Siti Jamumall berkata, perkara itu hanya gurauan untuk hiburan, namun berlaku sebaliknya apabila netizen mempersoalkan kemampuan fizikal dirinya.
Menurut lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal sejak lahir itu, dia tidak terkesan dengan komen negatif dan hinaan yang dilemparkan terhadapnya.
“Saya tidak terasa hati dengan komen berbaur kecaman dan penghinaan apabila saya bergurau mengenai soal perkahwinan ini.
“Cuma saya pelik mengapa ramai suka bertanya soalan yang sensitif dan membuat pelbagai andaian,” katanya.
Pada masa sama, dia memaklumkan tidak meletakkan harta sebagai ukuran dalam mencari pasangan hidup buat masa ini.
Sebaliknya, Abiejam berkata, dia hanya mengharapkan seorang wanita yang ikhlas dan sanggup menerima kekurangan dirinya.
“Saya mungkin tak mampu berjalan, tetapi mampu mencintai, menghargai dan membahagiakan wanita yang Allah takdirkan untuk saya.
“Ciri-ciri wanita pilihan saya mudah sahaja, baik hati, penyayang, ikhlas, memahami dan menerima keadaan saya sebagai OKU.
“Saya bukan riak atau sengaja mempamerkan kemewahan menerusi tawaran wang hantaran RM1 juta,” katanya.
Menurutnya, jumlah wang hantaran itu hanyalah sebagai simbol kesungguhan dan tanggungjawab seorang lelaki untuk membina rumah tangga, bukannya soal kekayaan.
“Nilai hantaran itu bukan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya simbol kesungguhan dan tanggungjawab. Ramai menilai kemampuan seorang lelaki hanya berdasarkan fizikal atau pandangan luaran.
“Soal hantaran hanyalah simbol. Yang lebih penting ialah keikhlasan, kesetiaan dan bagaimana seorang suami menjaga maruah serta kebahagiaan isterinya.
“Jadi, wang hantaran RM1 juta itu bukan soal angka, sebaliknya mesej bahawa saya serius terhadap institusi perkahwinan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




