Kontroversi gugat kedudukan Infantino

Kontroversi gugat kedudukan Infantino

Zurich: Kedudukan Gianni Infantino sebagai Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dilihat semakin goyah susulan kegagalannya melaksanakan rancangan menjual pegangan dalam hak komersial Piala Dunia, kata ketua badan liga bola sepak profesional Eropah, hari ini.

Claudius Schaefer, yang mewakili 53 liga bola sepak profesional lelaki dan wanita di Eropah, berkata, hanya ada ‘satu akibat’ yang wajar diterima Infantino selepas cadangan itu mencetuskan bantahan hebat daripada konfederasi serantau.

“Apabila saya melihat bagaimana perkara ini berlaku dan badan utama FIFA sendiri tidak dimaklumkan, dalam mana-mana syarikat atau persatuan hanya ada satu akibat,” katanya kepada akhbar Switzerland, SonntagsZeitung.

Apabila ditanya sama ada keadaan itu menjadikan Infantino tidak lagi layak menerajui FIFA, Schaefer berkata, ia lazimnya menjadi kesudahan apabila seseorang pemimpin menggerakkan urusan perniagaan sebesar itu tanpa pengetahuan pihak lain.

“Biasanya itulah akibatnya apabila seseorang dalam sesebuah organisasi menggerakkan urus niaga seperti ini tanpa sesiapa pun mengetahuinya,” katanya.

Infantino pada Jumaat lalu mengesahkan FIFA membatalkan cadangan berkenaan selepas menerima bantahan meluas daripada pelbagai pihak.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan Konfederasi Bolasepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) pula memaklumkan pada Sabtu bahawa mereka sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinannya.

Schaefer, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Switzerland, berkata cadangan itu menunjukkan matlamat utama FIFA adalah memaksimumkan keuntungan pihak ketiga menerusi penganjuran lebih banyak kejohanan berskala besar pada masa depan.

“Ia hanya mengenai keuntungan kewangan, manakala perkara lain langsung tidak dipedulikan,” katanya.

Menurutnya, Liga-Liga Eropah menentang cadangan itu kerana ia akan menambah lagi jumlah perlawanan dalam kalendar antarabangsa yang sudah padat sekali gus menjejaskan saingan liga domestik.

“Tiada siapa mengetahui mengenai rancangan itu, termasuk Majlis FIFA yang juga badan pentadbir FIFA. Saya sangat terkejut apabila presiden bertindak bersendirian dalam perkara ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top