PETALING JAYA: Kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal bukan saja memberi kesan kepada institusi kekeluargaan di negara malah turut mengakibatkan kesan ekonomi mendalam apabila kerajaan kerugian sehingga RM3.12 juta bagi setiap satu nyawa yang terkorban.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, nahas jalan raya adalah cabaran kesihatan awam yang amat getir kepada negara dan penyumbang kelima tertinggi kepada kematian pramatang di Malaysia.
Katanya, berdasarkan Indeks Kematian Jalan Raya Malaysia oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), secara purata seramai 18 orang terbunuh akibat kemalangan jalan raya setiap hari di negara ini.
“Lebih membimbangkan, peratusan kematian tertinggi iaitu sebanyak 59% adalah berpunca daripada golongan penunggang motosikal.
“Kesannya kepada institusi kekeluargaan dan ekonomi amat mendalam. Berdasarkan Nilai Statistik Kehidupan (VSOL), Kerajaan Malaysia menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM3.12 juta bagi setiap satu nyawa yang terkorban,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan menganjuran Program Himpunan RXZ Members 8.0 yang berlangsung selama tiga hari berakhir semalam dengan menghimpunkan peminat motosikal Yamaha RXZ menerusi pelbagai aktiviti termasuk pameran motosikal, jualan produk, cabutan bertuah dan program santai komuniti permotoran.
Program itu menghimpunkan lebih 200,000 peserta, sekali gus menjadi edisi paling mendapat sambutan sejak penganjurannya bermula pada 2017.
Bagaimanapun, Dr. Dzulkefly menzahirkan kebimbangannya susulan beberapa siri kemalangan maut yang terus berulang dari edisi pertama hinggalah ke penganjuran RXZ Members 8.0 baru-baru.
Beliau berkata, jumlah kerugian akibat kehilangan nyawa itu bukan sekadar angka namun ia mewakili ketua keluarga, anak muda yang menjadi harapan, serta modal insan produktif yang hilang sekelip mata.
Katanya, ramai golongan isteri terpaksa bergelar balu pada usia muda dan ramai anak-anak kecil membesar sebagai anak yatim akibat kehilangan ketua keluarga dalam nahas jalan raya.
“Kepada pihak penganjur program konvoi mega sebegini, saya menyokong penuh niat baik dan semangat silaturahim yang dianjurkan kalian. Walau bagaimanapun, siri kemalangan maut yang terus berulang dari edisi pertama hinggalah ke penganjuran RXZ Members 8.0 baru-baru ini amat merisaukan.
“Penganjur mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan keselamatan setiap peserta terjamin. Saranan saya, pastikan pesanan pemanduan berhemah dan advokasi keselamatan jalan raya dijadikan sebagai agenda wajib dalam setiap penganjuran, agar insiden nyawa melayang sia-sia akibat kelajuan tidak lagi berulang,” katanya.
Beliau berkata, dari satu sudut, setiap kali lonjakan kes kemalangan berlaku dalam satu-satu masa, seluruh sumber hospital, bermula dari bekalan darah, peralatan pengimejan, dewan bedah, hinggalah kepada tenaga pakar pelbagai disiplin terpaksa digerakkan dan dialihkan.
“Inilah realiti sistem kesihatan kita, satu peratus tenaga kerja KKM menggalas tanggungjawab menguruskan 99 peratus populasi rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan penghormatan kepada seluruh Pasukan Kecemasan dan Trauma Pelbagai Disiplin KKM yang berhempas-pulas merawat dan menyelamatkan nyawa mangsa nahas jalan raya yang terlibat.
“Segala fasiliti dan sumber perubatan di hospital sentiasa boleh diganti, namun nyawa yang hilang pasti tiada galang gantinya. Justeru, sudah tiba masanya kita mengubah mentaliti ekstrem di jalan raya.
“Hentikan penggunaan slogan lama, ayuh budayakan slogan baharu yang lebih membawa mesej kesederhanaan dan keselamatan: “Yang Santai, Pasti Sampai”. Slogan ini amat penting bagi menekankan aspek tunggangan berhemah, mematuhi had laju, dan menyasarkan kemalangan sifar.
“Jadikan keselamatan nyawa sebagai keutamaan mutlak sebelum memulas pendikit jentera anda. Ingatlah wajah insan tersayang yang sentiasa mendoakan kepulangan anda di rumah,” katanya. – UTUSAN




