Melbourne: Novak Djokovic mendedahkan senjata rahsia baharu yang didakwanya membantu mengekalkan kesihatan dan memanjangkan kerjayanya iaitu sebuah ‘cakera tenaga’ hijau.
Dikenali dengan minatnya terhadap amalan spiritual moden, bintang Serbia itu kini berada di Melbourne dengan harapan untuk memenangi Terbuka Australia kali ke-11 serta gelaran Grand Slam perseorangan ke-25.
Bagi mencapai kejayaan itu, Djokovic menggunakan peranti yang dicipta oleh seorang jurutera di Serbia yang didakwanya membantu mengatasi pelbagai masalah kesihatan.
Pemain berusia 37 tahun itu menunjukkan cakera sebesar pinggan makan dalam satu video di Instagram.
“Ia adalah cakera tenaga, yang mencipta medan elektromagnetik di sekelilingnya dan rahsianya terletak pada corak ini.
“Apabila anda meletakkannya pada bahagian tertentu badan, contohnya jika anda mengalami masalah perut seperti saya yang sering alami apabila gementar, tertekan sebelum perlawanan, atau mengalami masalah penghadaman, ia akan menghasilkan haba.
“Ia kemudiannya mula meningkatkan fungsi metabolik atau mengurangkan keradangan pada bahagian tertentu badan,” katanya.
Djokovic menambah: “Saya mempunyai banyak cakera ini dan saya membawanya ke mana sahaja.
“Apabila saya menaiki pesawat, saya meletakkannya di kepala atau di tempat lain. Saya tidak seharusnya meletakkannya pada bahagian badan terlalu lama, sekitar 20-30 minit sudah memadai.”
Djokovic sejak dahulu lagi mengamalkan pelbagai kaedah luar biasa yang membantu menjadikannya antara pemain tenis terbaik sepanjang zaman, dan dia tidak pernah malu untuk berkongsi keunikan itu.
Dia sangat mempercayai diet berasaskan tumbuhan, menggalakkan meditasi dan pernah mendapatkan bimbingan daripada guru spiritual.
© New Straits Times Press (M) Bhd




