DAGANG NeXchange Berhad (DNeX) melakar pencapaian terbaharu menerusi pelancaran XWHIZ, sebuah platform produktiviti dan pertuturan kepada teks (speech-to-text) dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan sendiri.
Pada majlis pelancaran rasmi yang dihadiri pemimpin korporat, pemilik perniagaan serta pemain industri teknologi, DNeX menampilkan demonstrasi awam pertama secara langsung mengenai keupayaan canggih XWHIZ, khususnya kebolehannya mentranskripsi dan menganalisis perbualan perniagaan kompleks serta pelbagai bahasa secara masa nyata.
Menurut DNeX, XWHIZ merupakan platform AI berasaskan kecerdasan mesyuarat yang menukarkan perbualan lisan kepada hasil yang tersusun dan boleh diambil tindakan.
Ini merangkumi penyediaan transkrip tepat, ringkasan bertulis padat, templat minit mesyuarat yang boleh disesuaikan, serta penjanaan automatik keputusan dan tindakan susulan seperti menetapkan pemilik tugasan, menjejaki tarikh akhir, mengenal pasti keperluan tindakan susulan, memantau pencapaian projek dan meningkatkan isu utama yang memerlukan perhatian pihak pengurusan.
Ketua Pegawai Eksekutif DNeX IT, Shiraz Ramli berkata, XWHIZ membantu menghapuskan beban kerja pentadbiran selepas mesyuarat dengan menukarkan proses manual yang mengambil masa berjam-jam kepada hasil yang boleh terus dilaksanakan.
Jelas beliau, selain meningkatkan produktiviti, XWHIZ turut melindungi kedaulatan digital Malaysia dengan memastikan keseluruhan ekosistem AI kekal dalam sempadan negara serta mematuhi peraturan tempatan.
“Kami bukan sekadar membangunkan satu alat, tetapi membina tulang belakang AI yang dipercayai untuk perniagaan di Malaysia supaya data sensitif mereka kekal selamat, terpelihara dan mematuhi peraturan tempatan, di samping mempercepatkan proses daripada perbualan kepada pelaksanaan,” katanya pada majlis pelancaran XWHIZ di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambahnya, XWHIZ direka khusus bagi memenuhi realiti komunikasi perniagaan di Malaysia yang lazimnya melibatkan pertukaran antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam ayat yang sama.
“Platform ini mampu mengendalikan pertukaran bahasa (code-switching) secara semula jadi tanpa menganggap setiap bahasa sebagai aliran berasingan.
“Keupayaan pengecaman penuturnya turut menyokong pendaftaran cap suara secara berterusan, bermakna selepas seseorang peserta dikenal pasti buat kali pertama, sistem akan terus mengenalinya secara konsisten dalam semua mesyuarat akan datang.
“Ini sekali gus memastikan setiap ringkasan dan tindakan susulan dikaitkan kepada individu yang tepat tanpa perlu ditandakan secara manual,” katanya.
Ujar Shiraz, pada peringkat permulaan, syarikat memberi fokus kepada pasaran tempatan dan menyasarkan kira-kira 100 pelanggan bagi tahun ini merentasi pelbagai segmen pengguna.
Menariknya, XWHIZ dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan pembangunan AI dalaman DNeX, mencerminkan aspirasi syarikat untuk membangunkan infrastruktur serta aplikasi AI yang praktikal bagi pasaran Malaysia.
Pembangunan itu merangkumi lapisan asas pemprosesan pertuturan dan data serta pelbagai aplikasi yang dibina di atasnya.
Sesuai untuk persekitaran kerja moden yang pelbagai dan hibrid, XWHIZ menawarkan keupayaan dwibahasa yang mantap dengan mentranskripsi bahasa Melayu termasuk pelbagai loghat popular, dan bahasa Inggeris secara lancar.
Transkrip yang dihasilkan juga boleh diterjemahkan ke lebih daripada 50 bahasa termasuk Mandarin, Sepanyol, Hindi dan Arab, yang merupakan antara bahasa paling banyak digunakan di dunia.
Selain itu, teknologi pengecaman penutur yang canggih membolehkan platform ini mengenal pasti setiap peserta berdasarkan cap suara (voiceprint) unik mereka, sekali gus memastikan ringkasan dan tindakan susulan dikaitkan dengan individu yang tepat.
Dalam pada itu, XWHIZ dibangunkan dan dihoskan sepenuhnya di Malaysia serta beroperasi sebagai sovereign system merentasi komponen utamanya, iaitu enjin pertuturan kepada teks, lapisan data dan infrastruktur asas.
Platform ini turut menyokong penggunaan secara on-premises pada infrastruktur pelanggan, sekali gus memastikan rakaman audio mesyuarat, transkrip dan segala maklumat yang dijana kekal dalam persekitaran organisasi tanpa dipindahkan keluar.
Ia menangani jurang kritikal dalam pasaran, iaitu keperluan terhadap alat AI generatif yang mematuhi sepenuhnya undang-undang penempatan data tempatan serta Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).
Dengan penempatan data sepenuhnya di Malaysia dan reka bentuk yang selaras dengan PDPA, XWHIZ menghapuskan kebergantungan kepada penyedia perkhidmatan awan asing bagi proses inferens, sekali gus memenuhi keperluan tadbir urus data, pematuhan kawal selia serta kerahsiaan yang sebelum ini mengehadkan penggunaan platform kecerdasan mesyuarat luar negara dalam kalangan perusahaan.
XWHIZ Standard, XWHIZ Pro dan XWHIZ Teams direka untuk golongan profesional, pemilik perniagaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) manakala XWHIZ Enterprise disasarkan kepada syarikat besar dan organisasi.
Sebagai promosi istimewa, pelanggan yang melanggan XWHIZ sebelum 31 Ogos 2026 layak menikmati diskaun sehingga 20 peratus.



