Dua beradik maut selepas keluarga pilih rawatan mistik untuk rawat demam

RAMGARH – Dua beradik lelaki meninggal dunia selepas keluarga mereka dipercayai memilih rawatan mistik bagi mengubati demam panas yang dialami sebelum keadaan mereka semakin kritikal dan dikejarkan ke hospital.

India Today melaporkan kedua-dua mangsa masing-masing berusia 15 dan 10 tahun mengalami demam bersama ibu mereka, Sangeeta Devi, kira-kira tiga hingga empat hari lalu.

Bagaimanapun, keluarga berkenaan dipercayai menganggap penyakit itu berpunca daripada kuasa ghaib dan mendapatkan khidmat seorang pengamal ritual tantrik untuk menjalankan upacara serta bacaan mantera di rumah.

Rawatan berkenaan dilaporkan dilakukan selama tiga hari, namun keadaan ketiga-tiga mereka terus merosot.

Apabila dua beradik itu tidak sedarkan diri, keluarga segera membawa mereka ke Hospital Sadar Ramgarh sebelum doktor mengesahkan kedua-duanya meninggal dunia.

Sementara itu, keadaan ibu mereka turut kritikal dan Sangeeta dirujuk ke Rajendra Institute of Medical Sciences (RIMS), Ranchi untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Punca sebenar penyakit yang menyebabkan tiga anggota keluarga itu jatuh sakit masih belum dikenal pasti.

Susulan kejadian itu, Pegawai Pembangunan Blok Patratu, Manoj Gupta, mengunjungi kampung berkenaan dan menemui keluarga mangsa.

Beliau memberi jaminan bantuan kepada keluarga berkenaan selain memaklumkan usaha akan dilakukan bagi menyediakan pampasan mengikut peraturan kerajaan.

Dalam pada itu, pasukan Jabatan Kejuruteraan Kesihatan Awam turut mengambil sampel air daripada pam tangan berhampiran selepas tiga anggota keluarga itu jatuh sakit pada waktu hampir sama.

Sampel berkenaan akan diperiksa bagi menentukan sama ada pencemaran air atau jangkitan mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

Scroll to Top