Selesai perbezaan angka menerusi audit

Selesai perbezaan angka menerusi audit

SHAH ALAM – Perbezaan angka antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Kementerian Kewangan (MoF) berhubung isu perbelanjaan melebihi peruntukan dilihat perlu diperjelaskan menerusi sistem kewangan dan audit bagi menentukan kedudukan sebenar perbelanjaan kementerian itu.

Pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Datuk Dr Barjoyai Bardai berkata, langkah itu penting bagi memperincikan jumlah sebenar peruntukan, komitmen projek, pembayaran yang telah dibuat serta tanggungan yang masih belum diselesaikan.

Kata beliau, kedua-dua pihak perlu menyelaraskan definisi dan angka kerana percanggahan yang timbul berkemungkinan disebabkan perbezaan antara peruntukan tahunan dengan komitmen kewangan projek pembangunan yang dilaksanakan merentasi beberapa tahun.

“Pada saya, perkara ini tidak wajar dilihat sebagai pertelingkahan antara KKDW dengan Kementerian Kewangan. Ia sebenarnya menunjukkan satu masalah lebih asas dalam pengurusan kewangan awam.

“Ia mengenai bagaimana kita mengurus projek pembangunan yang mempunyai komitmen kontrak berbilang tahun berbanding peruntukan tahunan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Selesai perbezaan angka menerusi audit

Barjoyai

KKDW terdahulu menafikan kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Tan Sri Johan Mahmood Merican berhubung kementerian itu berbelanja melebihi peruntukan dengan menegaskan Tatacara Kewangan Kerajaan tidak membenarkan perbelanjaan melebihi jumlah yang diluluskan.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah kemudian meminta Setiausaha Akhbar Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Fadzmel Fadzil menyemak semula fakta berhubung isu tersebut.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pula dilaporkan menegaskan kementerian dan agensi kerajaan perlu berbelanja mengikut peruntukan yang telah dibajetkan.

Mengulas lanjut, Barjoyai menjelaskan, istilah ‘berbelanja melebihi peruntukan’ juga perlu diperincikan sama ada merujuk kepada perbelanjaan tunai, komitmen, obligasi, liabiliti atau keseluruhan nilai projek yang telah diluluskan.

Katanya, nilai projek diluluskan sebanyak RM36.6 bilion tidak sama dengan jumlah peruntukan yang dibayar pada sesuatu tahun kerana kementerian boleh mempunyai kontrak sah dan kerja yang telah dilaksanakan, tetapi pembayarannya dibuat pada tahun kewangan berikutnya.

“Jadi, saya tidak fikir kita patut membuat kesimpulan bahawa KKDW telah melakukan perbelanjaan tanpa kebenaran hanya berdasarkan perbezaan antara angka peruntukan dan perbelanjaan.

“Pada masa sama, angka MoF juga tidak boleh diketepikan begitu sahaja kerana KSP adalah pihak yang bertanggungjawab mengawal keseluruhan kewangan negara,” ujarnya.

Kata Barjoyai, percanggahan kenyataan mengenai angka peruntukan dan perbelanjaan itu juga boleh menjejaskan kredibiliti serta keyakinan rakyat terhadap pengurusan kewangan kerajaan sekiranya terus berlarutan tanpa penjelasan yang menyeluruh serta lengkap.

Scroll to Top