Dua bot nelayan dipercayai ceroboh perairan Kudat ditemui tenggelam

KUALA LUMPUR – Dua bot nelayan terkandas ditemui pada kedudukan sekitar 2 batu nautika tenggara Pulau Sibogor Laut, Pulau Banggi, Kudat pagi tadi oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim, Boon Chin Chau berkata, bot peronda yang tiba di lokasi menemui dua bot nelayan terbabit telah tenggelam namun tiada mangsa dikesan.

Pemeriksaan lanjut ke atas fizikal bot mendapati kedua-dua bot terbabit dipercayai bot nelayan asing Vietnam berdasarkan kepada bentuk, warna, serta nombor pendaftarannya.

Tiada bukti atau sebarang petunjuk fizikal berkaitan kru kedua-dua itu di sekitar lokasi kejadian.

Menurut penduduk kampung berdekatan, kedua-dua bot terbabit telah terkandas pada malam sebelumnya.

Semakan juga mendapati tiada sebarang penemuan atau pendaratan warga asing Vietnam dilaporkan di pulau-pulau berdekatan.

Chin Chau berkata, berdasarkan maklumat tersebut, besar kemungkinan tekong beserta kru bagi kedua-dua bot terbabit dipercayai telah diselamatkan oleh bot nelayan asing lain yang berada berdekatan lokasi kejadian dan kini mereka dipercayai melarikan diri bagi mengelak dari ditahan pihak berkuasa serta dikenakan tindakan undang-undang.

Kedua-dua bot nelayan asing itu dipercayai terkandas serta melanggar batu karang yang mengakibatkan kebocoran pada struktur badan bot.

Faktor air laut yang semakin pasang serta kadar kemasukan air yang laju memenuhi bot membuatkannya tenggelam.

Namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Menurut beliau, Maritim Malaysia telah diarahkan untuk meningkatkan pengawasan serta rondaan bagi menjejak dan mengesan nelayan-nelayan asing yang melarikan diri ini.

Pemeriksaan teliti akan dijalankan terhadap bot-bot yang kelihatan mencurigakan dan tindakan undang-undang akan diambil sewajarnya.

Katanya, Pusat Operasi Maritim Kudat telah menghubungi pihak Taman-Taman Sabah berikutan lokasi kejadian adalah berada di dalam kawasan yang telah diwartakan sebagai Taman Laut Tun Mustapha.

Selain itu, maklumat juga turut disampaikan kepada Jabatan Alam Sekitar bagi kerja-kerja pengepungan serta pembersihan akibat daripada tumpahan minyak yang berlaku.

Hasil pemantauan serta analisis data dari tangkapan-tangkapan terdahulu, bot-bot nelayan asing terutamanya dari Vietnam yang menceroboh perairan Kudat kebiasaannya bergerak secara berkumpulan.

Mereka akan menjarah hasil laut negara secara haram pada waktu malam dan akan keluar dari sempadan negara sebelum matahari terbit bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.

Kepelbagaian jenis hasil laut seperti ikan-ikan bernilai tinggi, udang kara serta gamat, ditambah dengan persekitaran yang gelap merupakan antara daya pendorong bagi perompak-perompak hasil laut negara ini untuk menjarah hasil laut sewenang-wenangnya, katanya.

Kawasan kurang berpenghuni serta kedudukan yang berdekatan dengan garis sempadan membuatkan mereka mudah untuk melarikan diri dari pihak berkuasa.

Chin Chau berkata, Zon Maritim Kudat akan terus komited memastikan tiada pencerobohan oleh bot nelayan asing atau sebarang kegiatan jenayah di perairan negara.

Penduduk-penduduk di pulau, atau pesisir pantai dan juga seluruh masyarakat diseru untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan terus ke Pusat Operasi Maritim Kudat di talian 088-611858 atau melalui talian kecemasan MERS 999 yang beroperasi 24 jam setiap hari. – MalaysiaGazette