Bangi: Dua wakil Perak, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) dan SMS Raja Tun Azlan Shah (SERATAS) bakal berentap dalam perlawanan akhir sulung Super Schools Hockey (SSH) 2026 selepas mencatat kemenangan pada aksi separuh akhir di Stadium Hoki Tengku Abdullah, di sini, hari ini.
STAR mara dengan penuh bergaya apabila membelasah SMS Johor (SMSJ) 9-0 sekali gus mengesahkan status mereka sebagai antara pasukan paling konsisten sepanjang kejohanan.
SERATAS pula terpaksa bekerja lebih keras sebelum menewaskan Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) 2-1 dalam satu perlawanan sengit untuk mengesahkan tempat ke final.
Keputusan itu menyaksikan perlawanan akhir pertama dalam sejarah SSH menemukan dua pasukan dari Perak yang mempamerkan prestasi cemerlang sejak saingan peringkat kumpulan.
Pertembungan berkenaan dijangka menarik perhatian peminat hoki sekolah apabila kedua-dua pasukan hadir dengan kekuatan tersendiri serta tekad untuk muncul juara sulung kejohanan.
Sementara itu, SMSJ dan SDAR akan membuat perhitungan dalam aksi penentuan tempat ketiga yang dijadual berlangsung jam 5 petang sebelum final antara STAR dan SERATAS pada jam 8 malam di venue sama.
SSH 2026 yang dianjurkan hasil kerjasama Enervive Sports dan STAROBA Hockey menghimpunkan lapan pasukan terbaik sekolah seluruh negara dan dilihat sebagai platform penting dalam pembangunan bakat hoki muda serta memperkukuhkan ekosistem hoki negara di peringkat akar umbi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




